GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

May 26, 2012

MAJLIS PERSARAAN KAKITANGAN SKKK 1

"Menggemilangkan Akademik"




 

24 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1
Majlis persaraan salah seorang kakitangan sokongan SKKK 1, En. Che Nasir b. Mustafa telah diadakan dengan meriahnya pada hari ini bertempat di Anjung Bestari SKKK 1. Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu yang diraikan (En. Che Nasir b. Mustafa) atau mesra dengan panggilan Abe Nasir di kalangan seluruh warga sekolah, disambut oleh guru besar di Anjung MCN dengan memakaikan tengkolok, selempang dan keris. Majlis di serikan dengan persembahan silat dari pasukan Silat Tari SKKK1.

Seterusnya tetamu beredar ke Anjung Bestari diiringi pasukan silat sekolah berpakaian lengkap, bunga manggar dan pasukan gendang. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Redhuan, ucapan Guru Besar SKKK 1, ucapan YDP PIBG dan seterusnya ucapan daripada tetamu yang diraikan, En. Che Nasir b. Mustafa. Majlis juga di serikan dengan persembahan nyanyian dari penyanyi yang tidak asing lagi dikalangan warga sekolah iaitu Cikgu YM Tg, Norsilawaty. Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati daripada seluruh warga SKKK1 dan seterusnya perarakan menghantar pulang dengan diiringi pasukan silat.

Dalam ucapan ringkasnya Guru Besar memaklumkan En. Che Nasir b. Mustafa (Abe Nasir) telah bertugas di SKKK 1 bermula pada 16hb. April, 1981 selama lebih kurang 30 tahun. Perwatakannya yang sentiasa tenang, mudah  mesra dan sentiasa mengukir senyuman menyebabkan beliau disenangani oleh seluruh warga sekolah.Sehubungan dengan itu Guru Besar mewakili seluruh warga sekolah mengucapkan 'SELAMAT BERSARA ' dan terima kasih di atas kerjasama dan curahan tenaga yang telah disumbangkan selama berada di SKKK 1, dan semoga di berikan kesihatan yang berpanjangan hendaknhya. Insyallah.....

May 22, 2012

GAMBAR PELBAGAI UNTUK BAHAN ABM

"Menggemilangkan Akademik"

Assalamualaikum dan salam sejahtera....pada hari yang mulia penuh keberkatan ini, saya ingin berkongsi gambar-gambar menarik "black & white" yang telah dikumpulkan melalui carian google, boleh digunakan sebagai sumber bahan bantu mengajar. Sesiapa yang berminat bolehlah mengambilnya secara percuma sahaja. Semoga perkongsian ini mendapat keberkatan hendaknya. Insyallah.


Sumber utama bahan daripada blog http://norshamis.blogspot.com/

May 21, 2012

SELAMAT HARI LAHIR....

"Menggemilangkan Akademik"




Majlis penyampaian cenderahati daripada Kelab Guru dan Kakitangan SKKK 1 bagi guru-guru dan kakitangan yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan Mei, telah disempurnakan oleh Guru Besar SKKK 1, pada pagi ini dalam acara ringkas perhimpunan pagi. Seluruh warga SKKK 1 mengucapkan selamat hari lahir dan semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan yang berpanjangan hendaknya. Insyallah.

PERASMIAN BULAN SAINS 2012

"Menggemilangkan Akademik"




21 MEI, 2012 SK. KUBANG KERIAN 1.

Panitia Sains SKKK 1 telah melancarkan Bulan Sains 2012 pada pagi ini bertempat di Tapak Perhimpunan SKKK 1. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh, melepaskan belon bersama kain rentang sebagai simbolik perasmian bulan Sains SKKK 1 pada tahun 2012. Majlis perasmian ini diserikan lagi dengan penampilan khas Robot Mis Nano yang dicipta khas oleh jawatankuasa Bulan Sains SKKK 1 dan tidak ketinggalan persembahan berirama murid-murid tahun 2 Caring dengan lagu seekor gajah. 

Dalam ucapan perasmiannya, Tn. Guru Besar telah memaklumkan antara objektif utama di adakan bulan Sains di peringkat seolah adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Sains dan Teknologi dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran berlandaskan sikap saintifik dan nilai murni untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah harian. Selain itu bulan Sains juga akan memberi kesedaran tentang kepentinga n saling hubungan antara hidupan dan pengurusan alam semulajadi untuk keberterusan hidup manusia sejagat.

Pelbagai aktivi berkaitan dengan Sains telah diadakan sepanjang bulan ini. Antaranya cabutan nombor bertuah guru dan murid, pertandingan kuiz bertulis Sains tahap 1, Info Sains (tayangan CD) untuk tahap 1 dan 2, Celik Sains untuk murid tahap 2, Enjoy Science With IES untuk tahun 6 dan jualan pelbagai hadiah (hari ibu dan hari guru) untuk penambahan dana Panitia Sains SKKK 1 2012.

Sehubungan dengan itu Tn. Guru Besar SKKK 1, mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa kerja Panitia Sains dan semua guru SKKK 1 yang turut terlibat secara langusng atau tidak langsung dalam menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Sains SKKK 1 2012. 

May 16, 2012

SELAMAT HARI GURU 2012

"Menggemilangkan Akademik"

SELAMAT HARI GURU
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA






16 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1. 

Sambutan Hari Guru Peringkat SKKK 1 telah diadakan dengan meriah dan jayanya. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang hari ini. Sambutan dimulakan pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 12.45 tgh. Sambutan dimulakan dengan aktiviti senamrobik untuk semua warga SKKK 1 yang bertemakan pakaian merah. Semua warga sekolah telah melibatkan diri dan bersama-sama menjayakan aktiviti senamrobik di anjung MCN. Sejurus selepas aktiviti senamrobik, acara sukaneka untuk guru pula menyusul.  Bacaan perutusan dari KPPM pada jam 10.00 pagi dan semua warga sekolah menyaksikan ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin b. Yassin sempena sambutan hari guru peringkat kebangsaan, yang bersiaran secara langsung di TV1 pada jam 11.00 pagi. Semua murid menikmati jamuan ringkas di kelas masing-masing pada jam 11.30 pagi dan aktiviti sambutan hari guru berakhir dengan jamuan guru pada jam 12.45 tgh di kantin sekolah.

Sehubungan dengan itu, Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh (kini berada di majlis sambutan hari guru peringkat kebangsaan di Perak) mengucapkan SELAMAT HARI GURU  dan TERIMA KASIH kepada semua guru SKKK 1 di atas jasa bakti yang disumbangkan untuk meningkatkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum murid-murid SKKK 1 amnya. 

May 13, 2012

SELAMAT HARI LAHIR

"Menggemilangkan Akademik"



AHAD 13 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.
Majlis penyampaian cenderahati daripada Kelab Guru dan Kakitangan SKKK 1 bagi guru-guru dan kakitangan yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan April, telah disempurnakan oleh Guru Besar SKKK 1, pada pagi ini dalam acara ringkas perhimpunan pagi Ahad. Seluruh warga SKKK 1 mengucapkan selamat hari lahir dan semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan yang berpanjangan hendaknya. Insyallah.



SELAMAT HARI IBU 2012

"Menggemilangkan Akademik"



AHAD 13 MEI, 2012 - SK. KUABNG KERIAN 1.
"SELAMAT HARI IBU" buat semua ibu yang berada di mana sahaja amnya dan khasnya buat ibu-ibu yang berada di SKKK 1. Sempena sambutan hari ibu yang jatuh pada hari ini, SKKK 1 turut menyambutnya secara ringkas iaitu dimulakan dengan bacaan doa memohon keberkatan yang dipimpin oleh Ust. Mohd Shakir, memperdengarkan lagu  mengenai pengorbanan ibu dan mengibarkan "banner" Happy Mother's Day di medan perhimpunan pagi ini. 

Sehubungan dengan itu dalam ucapan ringkasnya Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu yang berada di SKKK 1 dan sambutan yang ringkas serta sederhana melambangkan penghargaan dari pihak sekolah untuk guru-guru yang bergelar ibu.

SIJIL EMAS

"Menggemilangkan Akademik"







AHAD 13 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.
Tahniah buat murid-murid tahun 6 yang telah mendapat pencapaian 5A dalam ujian penilaian bulan April baru-baru ini. Semua murid yang mendapat pencapaian cemerlang seramai 17 orang itu telah dianugerahkan Sijil Emas, Lencana 5A dan sumbangan derma berupa wang daripada PIBG SKKK 1.

Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SKKK 1 pada pagi ini di medan perhimpunan. Dalam ucapan ringkasnya, Tn. Guru Besar SKKK 1 berharap agar lebih ramai lagi murid yang akan mendapat 5A dalam ujian  akan datang yang akan dijalankan dari semasa ke semasa. Harapan, semoga murid-murid lain akan mendapat suntikan semangat untuk terus berusaha ke tahap yang lebih cemerlang dan cemerlang sehingga peperiksaan sebenar UPSR akhir tahun ini. Insyallah.

SIJIL PENGHARGAAN BUAT SKKK 1

"Menggemilangkan Akademik"






AHAD 13 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.
Tahniah buat warga SKKK 1 kerana telah dianugerahkan Sijil Penghargaan daripada Jabatan pelajaran Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu dan Majlis Guru Besar Kota Bharu sempena Himpunan Guru 1 Kota Bharu, di atas kejayaan yang cemerlang dalam bidang Kokurikulum sepanjang tahun 2011. Antaranya menyertai pertandingan Peringkat Kebangsaan dalam Cyber Game, Bola Sepak Peringkat Antarabangsa, Tenis Kebangsaan, Skuasy, Badminton dan Olahraga peringkat Negeri Kelantan.

Majlis penyampaian sijil penghargaan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Hj. Mohd. Fatmi b. Che Salleh, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia pada 12 Mei, 2012 bertempat di Oditorium Jabatan Kesenian & Pelancongan Negeri Kelantan. Sehubungan dengan itu guru besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapkan terima kasih kepada pihak jabatan di atas penganugerahan sijil penghargaan ini dan terima kasih juga buat semua warga SKKK 1 kerana telah berganding bahu, bekerjasama  meningkatkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum murid-murid SKKK 1.

May 12, 2012

MAJLIS JAMUAN LAKSA

"Menggemilangkan Akademik"






12 MEI, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.
Majlis Jamuan Laksa, anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru SKKK 1 telah diadakan dengan  jaya dan meriahnya pada hari ini iaitu Sabtu, 12 Mei, 2012. Majlis bermula jam 11.00 pagi dan berakhir jam 3.00 petang bertempat di Dewan MCN SKKK 1. Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk memunggut derma bagi mengisi Tabung Pembangunan Modal Insan Persatuan Ibubapa dan Guru SKKK 1. Dalam majlis yang sama, Sykt Porodua Kubang Kerian turut memeriahkan majlis dengan membuat pameran kenderaan (kereta) serta menyediakan beberapa hamper untuk hadiah bagi cabutan nombor bertuah.  Hidangan laksa yang dihidangkan pada hari ini telah disediakan oleh guru-guru dan kakitangan SKKK 1 secara bergotong royong. Hidangan kuah laksa di ketuai oleh Penolong kanan Pentadbiran, Pn. Hjh. Wan Rosnani bt. Wan Hamat, ulam-ulaman di ketuai oleh Penolong kanan HEM, Pn. Hjh. Noraini bt. Abdullah, minuman di ketuai oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, En. Nik Jailani bt. Nik Mat dan laksa di ketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum selaku  Setiausaha PIBG SKKK 1, Tn. Hj. Mohd Helmi b. ismail. Majlis yang diadakan pada hari ini melibatkan semua guru dan kakitangan SKKK 1 mengikut tugas masing-masing yang telah diagihkan sebelum ini.

Sehubungan dengan itu Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dan telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini dengan sempurna serta tidak dilupakan kepada para dermawan yang prihatin. Semoga dana yang diperolehi dari majlis jamuan laksa pada hari ini akan digunakan untuk menjayakan sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan lagi tahap pencapaian cemerlang murid-murid SKKK 1. Insayallah.

May 10, 2012

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP MINGGU PANITIA MATEMATIK 2012

"Menggemilangkan Akademik"

 



10 MEI, 2012 - SK.KUBANG KERIAN 1. Majlis perasmian penutup Minggu Panitia Matematik 2012 telah diadakan dengan begitu meriah sekali pada pagi ini bertempat di medan perhimpunan SKKK 1. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh dengan tema "TEROKAILAH DUNIA MATEMATIK".  

Antara objektif utama diadakan Minggu  Panitia Matematik ini adalah :-

1. Murid dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik bagi merancang strategi penyelesaian masalah secara berkesan dan seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

2. Murid dapat menghargai kepentingan dan keindahan Dunia Matematik.

3. Melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan serta dapat mengaplikasikan pengetahuan matematik.

4. Guru-guru dan murid-murid sama-sama mengembeling tenaga ke arah pembentukan modal nsan dengan minda kelas pertama sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Plan Transformasi Kerajaan (GTP) dan seterusnya merealisasikan Wawasan 2020.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Minggu  Matematik ialah, Kuiz terkumpul Matematik tahun 3, 4, 5 dan 6, teka berat barang, teka bilangan guli dan aktiviti bertulis tahun 1 dan 2 serta jualan.


May 9, 2012

KID’S TENNIS CHALLENGE 2012

"Menggemilangkan Akademik"



KUBANG KERIAN. Satu kejohanan Mini Tenis telah diadakan di Gelanggang Tenis Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM) pada 4 - 6 Mei, 2012 yang lalu. Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Akademik Tenis Darulnaim, Kelab Tenis SKKK 1 dan Kelab Tenis USMCK merupakan perintis pembangunan tenis Negeri Kelantan. Ianya bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan Tenis.

Antara objektif utama kejohanan ini adalah untuk :- 

1. Membangkitkan minat dikalangan kanak-kanak seterusnya memupuk semangat kesukanan yang tinggi.

2. Memupuk minat dikalangan ibubapa untuk memberikan galakan kepada kanak-kanak untuk bermain . 

3. Menaikkan motivasi kanak-kanak dalam peningkatan pengajaran dan pembelajaran.

4. Memperkenalkan sukan tenis kepada kanak-kanak di peringkat sekolah. 

5. Menyediakan platform permainan tenis dalam menyediakan pemain-pemain pelapis tenis untuk negeri Kelantan dan Negara di masa akan datang.

Secara umunya Akademik Tenis Darulnaim (ATD) merupakan pusat pembangunan tenis yang telah melahirkan pemain-pemain tenis untuk Negeri Kelantan sejak 5 tahun terakhir ini. Manakala SK. Kubang Kerian 1 merupakan sekolah angkat di bawah program ATD yang diharapkan mampu melahirkan pemain-pemain untuk generasi akan datang. USM pula merupakan pusat perkembangan tenis peringkat Negeri Kelantan, dan merupakan pusat yang akan melahirkan pemain-pemain pelapis untuk Negeri Kelantan.

Antara peringkat Umur  yang terlibat dalam kejohanan ini ialah 12 Tahun Lelaki / Perempuan                                                    bawah 10 Tahun Lelaki / Perempuan dan bawah 8 Tahun Lelaki / Perempuan. Manakala negeri yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini ialah Negeri Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. SKKK 1 turut menghantar beberapa orang wakil murid  (lelaki dan perempuan) menyertai kejohanan ini dan telah mendapat tempat ke 2 dan ke 3 bagi lelaki bawah 8 tahun iaitu adik Nazmi Kamal dan adik MF Wildan. Manakala perempuan bawah 10 tahun mendapat tempat ke 3 iaitu adik Nabihah bt. kamal. Tahniah diucapkan buat mereka dan cuba lagi di lain masa.

Kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat perhatian dari pelbagai pihak dengan mendapat sumbangan berupa kewangan dan juga barang keperluan sukan. Pengerusi kejohanan iaitu Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma yang telah sudi memberi sumbangan untuk menampung  menjayakan kejohanan ini. Antaranya  Datuk Mohd Fatmi b. Hj. Salleh, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, Kedai Alatan Sukan KB Sport Kelantan, Sykt AFRA dan orang perseorangan. Seterusnya terima kasih juga kepada semua AJK, ibu bapa serta orang perseorangan  yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.  Harapan semoga kejohanan ini akan menjadi kejohanan wajib untuk diadakan setiap tahun. 

May 8, 2012

KEMPEN KESEDARAN KESIHATAN FERNLEAF

"Menggemilangkan Akademik"





8 MEI, 2012 - KUBANG KERIAN. Kempen Kesedaran Kesihatan Fernleaf di kalangan Sekolah-sekolah Rendah telah diadakan selama 1 hari di perkarangan Anjung Bestari SKKK 1. Melalui kempen ini semua murid SKKK 1 telah menjalani pemeriksaan keseimbangan berat badan iaitu mengukur Indeks Jisim Tubuh. Selain itu terdapat juga beberapa aktiviti sampingan, antaranya sesi ceramah ringkas tentang pemakanan sihat dan gaya hidup yang aktif. Murid-murid juga di sediakan hidangan susu Fernleaf Kuat. Seterusnya murid-murid juga diberikan laporan Indeks Jisim Tubuh dan buku tentang pemakanan sihat dan gaya hidup aktif untuk dibawa pulang, untuk pengetahuan dan makluman ibu bapa semua. 

Kempen kesedaran kesihatan Fernleaf ini juga telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.Sehubungan dengan itu Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Fernleaf di atas kesudian menjalani pemeriksaan keseimbangan berat badan secara percuma kepada semua murid-murid SKKK 1.

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.