SK KUBANG KERIAN 1

SK KUBANG KERIAN 1

Feb 28, 2011

CAKNA GURU ..........

"Menggemilangkan Akademik"



SELAMAT HARI LAHIR" . Ucapan keramat diucapkan kepada semua guru-guru serta kakitangan sokongan SKKK 1 yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada bulan Januari dan Februari ini. Dalam majlis perhimpunan pagi pada hari ini semua guru-guru serta kakitangan sokongan yang lahir pada bulan Januari dan Februari telah menerima hadiah cenderahati dari Kelab Kebajikan Guru SKKK 1. Cenderahati tersebut telah disampaikan oleh Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh. Cenderahati yang disampaikan pada hari ini merupakan salah satu kebajikan guru yang diambil berat oleh sekolah atau dengan kata lain cakna guru dan kakitangan sekolah.............SELAMAT HARI LAHIR MOGA DIPANJANGKAN UMUR, DIMURAHKAN REZEKI DAN KEBAHAGIAAN BERKEKALAN HENDAKNYA...........

PERLANTIKAN KETUA PANITIA SKKK 1/2011

"Menggemilangkan Akademik"




KUBANG KERIAN 27 FEBRUARI 2011 - Satu majlis peyampaian watikah perlantikan Ketua-ketua Panitia setiap mata pelajaran bagi sesi persekolahan 2011 telah diadakan pada hari ini semasa perhimpunan pagi. Watikah perlantikan rasmi tersebut telah disampaikan oleh Tn. Guru Besar SKKK 1 sendiri iaitu Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh . Beliau berharap peyampaian watikah perlantikan tersebut dapat menyuntik semangat juang untuk bekerjasama meningkatkan prestasi sekolah dalam semua aspek selaras dengan visi sekolah, SEKOLAH KEBANGSAAN KUBANG KERIAN 1 CEMERLANG DALAM SEMUA ASPEK MENJELANG 2015.

Feb 17, 2011

APEK TERHUTANG BUDI PADA CIKGU ZUKI


Salam 1 Malaysia buat semua para tamu yang sudi berkunjung ke Laman SKKK 1 di layar IT. Semoga  kita semua sentiasa dalam kerahmatan dan keberkatan hendaknya.  Khairul Fahmi Che Mat merupakan nama yang tidak asing dalam arena bola sepak Malaysia  masa kini dalam  menjaga gawang gol Kelantan dan Malaysia khususnya. Beliau merupakan seorang anak jati Kelantan yang berasal dari Kampung Cherang Kota Bharu dan menuntut di SK Tapang pada masa itu.Beliau mula mendapat didikan awal  dalam arena bola sepak semasa usianya 12 tahun sehingga mewakili Kelantan dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Bandar Penawar Johor. Bakat beliau mula dikesan oleh gurunya iaitu Cikgu Zuki yang ketika itu mengajar di SK. Tapang dan kini bertugas di SK. Kubang Kerian 1, Kota Bharu. Disitulah beliau mendapat tunjuk ajar dari Cikgu Zuki tentang bermain bola sepak dengan cara yang betul.

Menurut Khairul Fahmi hubungan beliau dengan gurunya masih lagi rapat hingga kini  meskipun  beliau telah lama meninggalkan alam persekolahan. Berkat sokongan dan dorongan guru serta keluarga, Khairul Fahmi kini terkenal baik di dalam Malaysia mahupun di luar Malaysia. Budi baik, bimbingan, sokongan dan tunjuk ajar dari guru serta keluarganya sememangnya kekal dihati .......... sesuai dengan bait-bait terakhir pantun "Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga"

Feb 15, 2011

LAWATAN SAMBIL BELAJAR GURU PELATIH IPGM KOTA BHARU

"Menggemilangkan Akademik"





14 FEBRUARI, 2011 - ISNIN . Pada hari ini SKKK 1 telah menerima serombongan lawatan sambil belajar guru pelatih IPGM Kota Bharu bersama-sama 2 orang pensyarah dari Jabatan Pra Sekolah IPGM Kota Bharu. Lawatan yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal-bakal guru yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Pra Sekolah. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Jabatan Pra Sekolah iaitu En. Wan Jazlan b. Wan Abd. Rahman dan Pn. Norizam bt. Yaakub juga dari Jabatan yang sama. Sedikit taklimat serta tayangan slide tentang aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah telah di berikan oleh Pn. Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Hjh. Wan Rosnani bt. Wan Hamat dan Pen. Kanan Pendidikan Khas, En. Nik Jailani b. Nik Mat. Tuan Guru Besar Tn. Hj. Mohamed b.Che Noh tidak dapat hadir dalam majlis tersebut kerana beliau menghadiri mesyuarat di Jabatan Pelajaran Kelatan (JPN). Dalam taklimat yang disampaikan Pn. Hjh. Wan Rosnani bt. bt. Wan Hamat, beliau mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pihak IPGM KB kerana sudi berkunjung untuk mendapatkan maklumat serta pengalaman dari SKKK 1. Beliau juga turut memberi pesanan dan ingatan kepada bakal-bakal guru supaya sentiasa bersemangat waja, berwibawa, berkeyakinan tinggi serta tidak mudah patah semangat dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik, setelah bergelar guru selapas ini. Beliau turut berkongsi pengalaman dalam pendidikan  terutama tentang perbezaan murid-murid zaman dahulu dan kini. Tayangan slide tentang aktiviti Pra Sekolah dan Pra Integrasi  pula di kelolai oleh En. Nik Jailani b. Nik Mat. Beliau juga turut berkongsi pengalaman dalam pendidikan khasnya Pendidikan Pra Sekolah dan Pendidikan Khas. Selepas sesi soal jawab, bakal-bakal guru dibawa melawat ke kelas Pra Sekolah dan Pra Integrasi. Sehubungan dengan ini, pihak sekolah sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih diatas kesudian pihak IPGM KB memilih Sk. Kubang Kerian 1, untuk membuat lawatan sambil belajar pada hari ini. Sememangnya pihak pengurusan sekolah sentiasa mengalu-alukan kedatangan para tetamu yang sudi berkunjung ke SKKK 1.

Feb 13, 2011

PROGRAM MOTIVASI KEPIMPINAN PEMIMPIN KECIL SKKK 1/2011

"Menggemilangkan Akademik"





13 FEBRUARI, 2011 KUBANG KERIAN. Program Motivasi Kepimpinan dan Majlis Perlantikan Pengawas, Pengawas PSS, Pengawas SPBT, Briget ICT, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah SKKK 1 telah diadakan pada 12 & 13 Februari, 2011 bertempat di SKKK 1. Program kepimpinan ini telah diadakan bermula jam 7.30 pagi semalam dan berakhir dengan peyampaian watikah perlantikan pada pagi ini.Objektif utama program yang dianjurkan ini adalah untuk melahirkan pemimpin kecil yang lebih bertanggungjawab pada diri, rakan, ibu bapa, masyarakat dan Negara. Program yang diadakan sehari semalam melibatkan aktiviti dalam kumpulan serta ceramah motivasi. Majlis peyampaian watikah perlantikan hari ini pula telah disampaikan serta dirasmikan oleh Supt. Azli b. Md. Noor, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Negeri Kelantan. Dalam ceramah yang telah disampaikan kepada pemimpin kecil ini beliau berharap agar tanggungjawab yang telah diberikan oleh guru-guru serta sekolah dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Sehubungan dengan itu Tuan Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b.Che Noh berharap agar program yang diadakan selama dua hari ini akan dapat membina serta membentuk keperibadian positif, berkarisma, berdikari serta berkeyakinan tinggi dalam kalangan Pengawas, Pengawas PSS, Briget ICT, Pengawas SPBT, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah. Seluruh warga SKKK 1 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Supt. Azli b. Mohd Noor atas kesudian beliau meluangkan masa bersama warga SKKK 1 pada hari ini.

Feb 1, 2011

PERLAWANAN SILATURAHIM BOLA SEPAK SKKK 1- SMK LONG YUNUS




'Mengemilangkan Akademik'

Satu perlawanan Silaturahim Bolasepak SKKK 1 - SMK Long Yunus/PPD Bachok telah diadakan pada petang Isnin 31hb. Januari, 2011 jam 5 petang bertempat di Padang Sk. Kubang Kerian 1, Kota Bharu. Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kesukanan di kalangan guru. Pasukan SKKK 1 diketuai oleh Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh, manakala pasukan lawan di ketuai oleh Pegawai Pelajaran Daerah Bachok (Unit Kaunselor) iaitu En. Zairul Anuar b. Che Mahmood. Perlawanan yang diadakan pada kali ini amat meriah dengan mendapat banyak sokongan penonton daripada kedua-dua pasukan bertanding. Walaubagaimanapun perlawanan yang diadakan pada kali ini berakhir dengan mata 0-0. Perlawanan persahabatan akan diadakan sekali lagi selepas cuti Tahun Baru Cina nanti bertempat di padang SMK Long Yunus . Selepas acara perlawanan kedua-dua pasukan menjamu selera dengan sedikit juadah jamuan ringan.Sehubungan itu Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh selaku ketua pasukan berharap agar semua guru dapat mengekalkan semangat kesukanan yanga ada dari semasa ke semasa.

MAKLUMAN CUTI SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2011

"Menggemilangkan Akademik"

Salam 1Malaysia buat para tamu yang dirahmati............sukacita dimaklumkan SKKK 1 akan bercuti pada 02 dan 03 Februari 2011 (Rabu dan Khamis) sempena Perayaan Tahun Baru Cina. Sekolah akan dibuka semula pada hari Ahad 06 Februari 2011. Sehubungan itu Guru besar mengucapkan selamat bercuti kepada seluruh warga SKKK 1. Kerjasama dan keperhatian para ibubapa kepada perkembangan anak-anak dan sekolah, didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.


PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.