GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Mar 28, 2017

PROGRAM GALAKAN MENABUNG BERSAMA BSN 2017

28 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1


Program galakan menabung bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) telah diadakan pada hari ini bermula jam 10.45 pagi hingga 12.45 tgh. Seramai 3 orang kakitangan BSN telah hadir ke SKKK1 untuk membantu memudahkan urusan murid-murid yang ingin membuka akaun BSN atau membuat tabungan simpanan. Pihak BSN juga akan membuat kunjungan ke sekolah setiap hari Selasa pada minggu terakhir setiap bulan. Murid-murid boleh membuat semua urusan untuk membuka akaun, pengeluaran wang dan simpanan wang pada hari tersebut.

Objektif program ini ialah;

1. Menanam sikap suka menyimpan dan menabung dari kecil lagi di kalangan murid-murid sekolah.
2. Memberi peluang kepada murid-murid untuk membuka akaun simpanan yang masih belum ada akaun bank. 
3. Menjalin hubungan dengan agensi kerajaan bersama pihak sekolah dan  PIBG sekolah yang merupakan salah satu agenda dalan Sarana Ibubapa dan Sekolah

Mar 17, 2017

SUKAN TAHUNAN 2017

16 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1















Sukan tahunan 2017 SKKK1 telah diadakan dengan penuh kemeriahan dan jayanya pada 15 dan 16 Mac, 2017 bertempat di Padang MCN SKKK1. Temasya sukan pada tahun ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG Tn. Hj. Mohd Yunus @ Halim bin Tahir. Turut hadir memberi sokongan dan memeriahkan kejohanan sukan pada tahun ini ialah Mantan PK Pentadbiran Pn. Hjh Wan Rosnani bt. Wan Hamat (kini telah bersara) dan Mantan PK Kokurikulum Tn. Hj. Mohd Hilmi b. Ismail (kini Guru Besar SK Banggu KB).

Dalam ucapan ringkas alu-aluan Tn Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada para tetamu jemputan yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama hadir memeriahkan temasya sukan tahunan pada kali ini. Juga ucapan terima kasih ditujukan kepada guru dan seluruh warga SKKK1 di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan untuk sama-sama menjayakan temasya sukan pada kali ini. Tanpa kerjasama dari semua pihak tidak mungkin sesuatu aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan penuh jaya. Tahniah dan syabas kepada semua murid kerana terlibat dan mengambil bahagian dalam sukan pada kali ini selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia, 1Murid 1Sukan.

Mar 12, 2017

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2017

12 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1






 Majlis penyampaian bantuan awal persekolahan 2017 bahagian 1 telah diadakan pada hari ini bertempat di Anjung MCN pada jam 2.30 petang. Penyampaian bantuan pada hari ini adalah sebahagian daripada murid-murid yang layak. Sebahagian murid lagi akan menyusul selepas ini. Penyampaian bantuan awal persekolahan ini telah disampaikan sendiri oleh Guru Besar dan para pentadbir SKKK1. Dalam ucapan ringkasnya Tn Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed bin Che Noh mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang meluangkan masa  hadir dalam majlis yang diadakan pada hari ini. Seterusnya beliau turut berpesan dan menasihatkan para ibu bapa agar dapat menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin dan berbelanja untuk perkara berfaedah khasnya kepentingan pelajaran anak masing-masing.

BENGKEL PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU-GURU BAHASA MELAYU

12 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1



Bengkel peningkatan profesionalisme guru-guru Bahasa Melayu Tahap 1 dan 2 SKKK1 telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Wawasan SKKK1 bermula jam 1.15 tgh - 3.00 petang. Semua guru-guru yang mengajar Matapelajaran Bahasa Melayu Tahap 1, 2 dan Kelas Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran terlibat dalam bengkel ini. Bengkel telah dikendalikan sepenuhnya oleh En. Kamaruddin dan En Suhaimi. Guru-guru telah didedahkan cara pemarkahan yang betul dan seragam berpandukan format pemarkahan Bahasa Melayu kertas 2 yang baharu.

PENYAMPAIAN HADIAH DAN CENDERAHATI KEJOHANAN BADMINTON

12 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1






Penyampaian hadiah dan cenderahati kepada murid-murid yang telah berjaya merangkul beberapa kejayaan dalam aktiviti yang disertai sepanjang bulan Februari diadakan pada pagi ini di dalam majlis perhimpunan pagi Ahad. Hadiah dan sijil peghargaan telah disampaikan oleh Tn. Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed bin Che Noh. Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua murid yang telah berjaya dan menunjukkan sikap bersungguh-sungguh dalam setiap penglibatan yang disertai. Tahniah dan syabas juga buat guru-guru yang telah bertungkus lumus melatih murid-murid untuk menyertai sesuatu pertandingan. 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada 4 orang wakil murid yang telah menyertai Pertandingan Kejohanan Badminton Peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu Tahun 2017 Bawah 12 tahun iaitu adik Khairina bt Khairul Azlan (Pingat Gangsa), Firnas b. Khairul Azlan,  Khasnah b. Khairul Azlan dan Muhammad Nazreel Danish b. Khairuddin. Kejonanan tersebut telah diadakan pada 12 - 15 Februari 2017 bertempat di Dewan Wisma Sukan PPD Kota Bharu.

Tahniah dan syabas sekali lagi buat adik Khairina bt Khairul Azlan kerana telah menyertai kejohanan Badminton Bawah 12 tahun peringkat Negeri Kelantan Tahun 2017 yang telah diadakan pada 18 - 21 Februari 2017 bertempat di SM Tengku Indera Petra 1, Gua Musang.




Mar 10, 2017

KEM BESTARI SOLAT 2017

10 MAC, 2017 - SK KUBANG KERIAN 1





Kem Bestari Solat (KBS) siri 1/2017 telah diadakan dengan jayanya pada hari ini bermula jam 8.00 hingga 12.00 tgh. KBS pada kali ini melibatkan semua murid SKKK1, tahap 1 dan 2 serta murid-murid dari kelas Anugerah 6 Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran. Aktiviti seumpama ini merupakan salah satu daripada modul yang terdapat dalam program j-QAF sejak sesi 2005 lagi.

Aktiviti ini dilaksanakan untuk memastikan murid-murid dapat menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan. Program ini juga merupakan salah satu aktiviti pengukuhan dalam bentuk amali yang diketengahkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah bermula tahun satu. 

Objektif Kem Bestari Solat adalah seperti berikut : 
1. Murid dapat melakukan rukun wuduk dengan sempurna. 
2. Memberi pendedahan kepada murid tentang cara solat yang betul (perbuatan dan bacaan) berdasarkan rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. 
3 Memberi peluang kepada murid untuk mengetahui cara solat yang sempurna sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah. 
4 Menekankan kepada murid tujuan dan hikmah pelaksanaan solat dalam kehidupan seharian. 

Matlamat Kem Bestari Solat ini dilaksanakan bagi memastikan semua pelajar mendapat pendedahan serta mengaplikasikan ibadah solat dalam kehidupan seharian dengan sempurna dari segi tujuan solat, bacaan, rukun, ilmu pengetahuan dan penghayatan solat.

Mar 7, 2017

TERAPI KUDA MURID PPKI

7 MAC 2017 - SK KUBANG KERIAN 1







Aktiviti Terapi Berkuda kali ke 2/2017 murid-murid PPKI SKKK1, telah diadakan pada hari ini untuk sesi 2017 bertempat di Yayasan Orang Upaya Yokuk, Penkalang Chepa Kota Bharu. Aktiviti ini diadakan satiap minggu bergilir-gilir dengan terapi air. Terapi dalam Pendidikan Khas adalah salah satu kaedah untuk membantu seseorang murid untuk bergerak balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran. Ia bertujuan untuk membantu murid- murid berkeperluan khas dalam mencapai perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor. 

Program ini adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996, Peraturan- peraturan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II 3(2) yang menyatakan ‘guru- guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas’ Matlamat utama Program ini diadakan adalah untuk membantu murid- murid berkeperluan khas meningkatkan nilai- nilai dalam aspek kehidupan serta meneruskan proses perkembangan diri yang lebih baik ke arah kedewasaan yang mantap.

Objektif utama aktiviti ini diadakan setiap minggu adalah :- 

  • Membolehkan murid meningkatkan perkembangan fungsi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor murid bermasalah pembelajaran. 
  • Melatih murid- murid khas bermasalah pembelajaran menguasai kemahiran- kemahiran tertentu yang bersesuaian dan berkaitan dengan kehidupan seharian. 
  • Mewujudkan suasana persekitaran pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan.



Mar 6, 2017

KEPUTUSAN UBKK 2016



Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada 195 orang murid yang telah mendapat keputusan peperiksaan UBKK 2016 pada minggu lepas. Seramai 195 orang murid SKKK1 tahun 5 2016 telah menduduki ujian tersebut. Seramai 15 orang murid telah mendapat keputusan cemerlang 8A (7.69%) sekaligus melayakkan SKKK1 menduduki tempat ke 3 sekolah terbaik dalam PPD Kota Bharu dan salah seorang murid SKKK1 telah mendapat tempat ke 9 pelajar terbaik dalam PPD Kota Bharu. Majlis penganugerahan sijil dan hadiah telah disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, Tn Hj. Mohd Ezani bin Awang A.S.K yang diadakan di Dewan Utama PPD Kota Bharu pada 5 MAc, 2017. Tn Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mewakili seluruh warga sekolah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru, murid, ibubapa serta kepada semua yang terlibat dalam sama-sama berusaha untuk mencapai kecemerlangan ini.

Mar 2, 2017

MAJLIS JASAMU DI KENANG

2 MAC 2017 - SK KUBANG KERIAN 1











Majlis Jasamu Dikenang, persaraan 3 orang guru SKKK1 telah diadakan dengan penuh kemeriahan pada hari ini bertempat di Anjung MCN bermula jam 9.00 pagi hingga 11.30 tgh. Majlis pada kali ini bertemakan Flora meraikan persaraan Pn. Norizam bt. Hamzah, Pn. Hjh. Hasnah bt. Suliman dan Pn Rahimah bt Ibrahim yang  menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan awam pada hari ini. Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh Ustz Ridzuan b. Mohamad, ucapan Guru Besar, ucapan ketiga-tiga guru yang dirai, penyampaian hadiah serta cenderahati dan persembahan oleh guru dan murid.

Sedikit Biodata Guru-guru Yang Dirai:-

Pn. Hasnah bt. Suliman - 28 tahun bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Negeri Kelantan. Dilahirkan pada 15 Feb. 2085. Mengikuti kursus asas perguruan pada 1985 di Maktab Perguruan Ipoh Perak. Memulakan tugas sebagai guru di SK Seri Kemudi Bachok pada 1988 hingga 1987. SK Mentuan Binjai Kota Bharu pada 1988 - 2000. SK Demit 1 pada 2001-2008. SK Kubang Kerian 1 2009 hingga hari ini. Mempunyai seorang anak perempuan dan 7 orang anak lelaki yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Pn. Norizam bt. Hamzah - 31 tahun bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Negeri Terengganu dan Kelantan. Dilahirkan di Bukit Kecil Kuala Terengganu pada 23 Oktober, 1961. Mengikuti kursus asas perguruan di Maktab Perguruan Pasir Panjang Kuala Terengganu pada 1982 - 1984. Memulakan tugas sebagai guru di SK Bukit Perah Ajil Kuala Terengganu 1985 - 1986. SK Gua Musang pada 1987 - 1989 dan SK Kubang Kerian 1 1990 - 2017 selama 27 tahun.

Pn. Rahimah br. Deraman - 32 tahun bertugas sebagai guru di 4 buah sekolah di Negeri Kelantan. Mengikuti kursus asas perguruan pada 1982 - 1984 di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Mula bertugas sebagai guru di SK Peringat pada tahun 1985. Mempunyai 5 orang cahaya mata lelaki dan seorang perempuan.

Seluruh warga sekolah mengucapkan selamat bersara dan selamat berehat kepada ke tiga-tiga orang guru, semoga diberi kesihatan yang baik dan bahagia selalu di samping keluarga.

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.