SK KUBANG KERIAN 1

SK KUBANG KERIAN 1

Dec 29, 2013

PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 SESI PERSEKOLAHAN 2014

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

29 Disember, 2013 - SK. KUBANG KERIAN 1, KOTA BHARU KELANTAN.









Majlis pendaftaran murid tahun 1, 2014 telah diadakan pada pagi ini dengan jayanya. Seramai lebih kurang 180 orang murid tahun 1 telah mendaftar untuk sesi pembelajaran 2014.  Dalam ucapan ringkas alu-aluan Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapakan terima kasih dan mengalu-alukan semua ibu bapa yang hadir pada hari ini. Beliau juga telah memberi taklimat ringkas tentang peraturan sekolah, pelbagai bantuan kewangan kepada murid yang berkelayakan, jadual waktu pembelajaran dan juga minggu transisi. Dalam majlis yang sama juga, penyelaras Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Cikgu Zulkipli b. Ibrahim telah memberi sedikit taklimat tentang pelaksanaan PBS di SKKK1.

Sehubungan dengan itu seluruh warga SKKK1 mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan selamat belajar buat semua murid SKKK1....Insyallah bersua pada hari Rabu, 1 Januari 2014.

Nov 14, 2013

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK"


PERHIMPUNAN TERAKHIR PENUTUP TIRAI PERSEKOLAHAN SESI 2013

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

14 NOVEMBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1

Perhimpunan pagi yang diadakan pada pagi ini merupakan perhimpunan mingguan warga SKKK1 yang terakhir untuk sesi persekolahan 2013. Insyallah jika dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki kita semua akan berjumpa lagi di sesi persekolahan 2014. Kepada semua warga guru dan murid SKKK1, SELAMAT BERCUTI.......


 

  


KEPUTUSAN UPSR 2013......TAHNIAH ANAK-ANAK DIDIK SKKK1....

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 










14 NOVEMBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1


Tahniah dan syabas buat semua anak-anak didik SK Kubang Kerian 1, di atas pencapaian yang cemerlang dalam  Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013. Majlis pengumuman dan penyampaian Slip keputusan peperiksaan telah disampaikan oleh Tn. Guru Besar SK. Kubang Kerian 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh dan diiringi oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Tn. Hj. Mohd Hilmi b. Ismail pada pagi ini bertempat di Anjung Bestari SKKK1. Dalam ucapan ringkasnya, Tn. Guru Besar memaklumkan seramai 60 orang murid telah mendapat 5A, dan SKKK1 mendapat tempat ke dua dalam Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu (PPD KB) dengan peratus kelulusan semua matapelajaran 78.38%.

Seterusnya, beliau juga mengucapkan Syabas, tahniah dan terima kasih juga kepada semua guru, terutama guru-guru tahun 6 yang terlibat secara langsung dalam mengajar, membimbing anak-anak didik SKKK1, tidak dilupakan kepada semua warga sekolah yang terlibat secara tidak langsung dalam mengukir keputusan yang cemerlang pada tahun ini. Kepada mereka yang kurang berjaya, jangan putus asa, usaha lagi diperingkat yang akan datang. Keputusan yang kurang memberansangkan dalam UPSR tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya. Usaha dengan lebih gigih lagi pada peringkat yang lebih tinggi nanti. Insyalah

Nov 7, 2013

MAJLIS PERSARAAN GURU CEMERLANG SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

7 NOVEMBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1

 Pada hari ini SK Kubang Kerian 1 mencatat satu lagi lembaran sejarah meraikan persaraan seorang guru yang akan bersara secara rasminya bermula esok 8 November, 2013. Beliau yang diraikan dengan penuh meriah dan gilang gemilang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Pn. Hjh. Che Zaiton bt. Salleh. Beliau merupakan seorang guru Pakar Bahasa Inggeris dan sering menjadi penceramah Teknik Menjawab UPSR di sekolah-sekolah di dalam dan luar negeri. 

Dilahirkan pada 25 Disember, 1955 bersamaan 10 Jamadil Awal 1374 H di Kg. Badang, Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SK Rambutan Rendang dari 1961 hingga 1967. Seterusnya melanjutnya pelajaran ke sekolah Menengah Kota Bharu hingga tingkatan 3. Meneruskan pelajaran di sekolah Menengah Zainab dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5 di SM Tengku Mahmood Besut.

Beliau memulakan tugas sebagai seorang pendidik pada tahun 1977 iaitu di SK Kg. Rahmat Felda Chalok setelah 2 tahun mengikuti latihan asas perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1975 hingga 1976. Beliau memulakan tugas di SKKK1 bermula pada Mei, 1994.











Dalam ucapan ringkas, Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang diraikan pada hari ini di atas sumbangan bakti yang dicurahkan selama berada di SKKK1. Harapan dan doa semoga, Pn. Hjh. Che Zaiton akan sentiasa sihat dan gembira di samping keluarga tercinta setelah pencen nanti. Seluruh warga sekolah merasakan kehilangan sebutir permata yang banyak berjasa dan sukar dicari ganti. Segala jasa bakti yang dicurahkan akan di kenang sepanjang hayat dan hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Insyallah panjang umur berjumpa lagi di lain ketika.

Nov 6, 2013

JAMUAN AKHIR TAHUN 2013 WARGA SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

6 NOVEMBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1








 Majlis jamuan akhir tahun 2013 bagi Warga SKKK1 telah diadakan pada petang ini bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu. Majlis pada tahun ini bertemakan warna-warni (colour blocking), diadakan dengan penuh meriah dan ceria bermula jam 1.45 tgh dan berakhir jam 3.00 petang.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, ucapan alu-aluan oleh Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh. Dalam ucapan ringkasnya, Tn. Guru Besar mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua AJK dan guru-guru yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini dan seterusnya terima kasih juga kepada semua warga sekolah diatas kerjasama yang diberikan sepanjang tahun 2013 ini. Tanpa sokongan serta kerjasama dari semua pihak tidak mungkin sesuatu aktiviti dapat dijalankan dengan penuh lanjar dan jayanya.

Nov 3, 2013

MAJLIS JAMUAN AKHIR TAHUN MURID TAHUN 6 DAN PENYAMPAIAN HADIAH SUKANEKA WARGA EMAS SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

Majlis jamuan akhir tahun dan perpisahan murid-murid tahun 6 telah diadakan pada 28 Oktober 2013 yang lalu bertempat di Dewan SKKK1. Majlis jamuan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan murid-murid tahun 6 yang akan meninggalkan sekolah rendah dan melangkah setapak lagi ke sekolah menengah dalam beberapa hari lagi. Tn. Guru Besar  dan semua Penolong Kanan SKKK1 hadir serta turut menyampaikan hadiah cenderahati  kenang kenangan  kepada semua murid pada majlis tersebut.

Harapan dan doa daripada seluruh warga sekolah agar murid-murid tahun 6 yang akan melangkah ke sekolah menengah akan lebih matang dalam segala hal kerana cabaran dan perjuangan untuk menuntut ilmu akan lebih mencabar di sekolah menengah. Insyallah semua murid-murid SKKK1 akan dapat melaluinya dengan lebih matang.















Dalam majlis yang sama juga turut disampaikan hadiah dan cenderahati kepada warga emas yang menyertai sukaneka bersama murid-murid SKKK1 baru-baru ini di bawah pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara di peringkat sekolah. Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara di SK Kubang Kerian 1 diterajui oleh Unit HEM melalui Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling. 


 


JAMUAN AKHIR TAHUN BADAN PEMIMPIN KECIL SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

31 OKTOBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1.

 Jamuan Badan Pemimpin Kecil SKKK1 - Terdiri daripada Badan Pengawas Sekolah SKKK 1, Pengawas Pusat Sumber SKKK 1, Pengawas ICT SKKK 1 dan Pengawas Buku Teks SKKK 1 telah diadakan dengan meriahnya pada jam 12.00 tengahari bertempat di Crystal Lodge, Jalan Che Su Kota Bharu Kelantan. Turut hadir dalam jamuan tersebut ialah Guru Besar SKKK 1, semua Penolong Kanan SKKK 1 serta guru-guru penasihat yang terlibat. Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan daripada murid-murid dan sesi bergambar semua pengawas yang terlibat bersama pentadbir sekolah. 

Pada majlis tersebut juga turut di umumkan Ketua dan Penolong Ketua Pengawas SKKK1 untuk tahun 2014. Tn Guru Besar SKKK 1 turut menyampaikan  pemberian cenderahati kepada semua pengawas yang hadir pada hari ini sebagai penghargaan sumbangan mereka sepanjang persekolahan 2011. Majlis tamat jam 2.30 petang.

 





Nov 2, 2013

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH 2013

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK"





31 OKTOBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1

Majlis Konvokesyen murid-murid Pra Sekolah Mawar, Pra Sekolah Melor dan Pra Pendidikan Khas SKKK1 telah diadakan dengan jayanya pada hari ini bertempat di kelas Pra Sekolah Mawar. Semua ibu bapa murid-murid pra sekolah turut hadir memeriahkan majlis pada pagi ini. Majlis penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua murid telah disampaikan oleh Tn. Guru Besar sendiri dan turut dihadiri oleh semua Penolong Kanan dan Guru Cemerlang SKKK1.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID TAHUN 6

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK"

31 OKTOBER, 2013 - SK. KUBANG KERIAN 1



Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid tahun 6 SKKK1 telah diadakan dengan meriahnya pada pagi ini bertempat di Anjung Bestari SKKK1. Majlis ini telah dikelolai oleh Panitia Pendidikan Islam dan j-Qaf serta semua guru-guru dan kakitangan SKKK1. Seramai 91 orang murid tahun 6 telah khatam Al-Quran sebanyak 30 Juz. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan YDP PIBG SKKK1, Yang Berusaha Dr. Sarwani. Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran  oleh adik Salim Afifi dari kelas 3 Cekal dan deklamasi sajak oleh adik Mohd Azim Hakimi dari kelas 3 Cakna. 

Dalam ucapan ringkas Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh, mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid yang telah berjaya khatam Al-Quran sebanyak 30Juz, dan harapan beliau agar murid-murid sentiasa membaca Al-Quran setiap hari. Sekalung ucapan terima kasih kepada semua guru dan seluruh warga sekolah kerana telah memberi komitmen dan kerjasama dalam menjayakan majlis yang penuh meriah pada hari ini.

Oct 14, 2013

PERTANDINGAN MENYEDIAKAN SARAPAN PAGI 'SANDWISH'

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

14 OKTOBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1




Pertandingan menyediakan sarapan pagi "Sandwish" dikalangan murid-murid tahun 6 SKKK1 telah diadakan dengan jayanya pada 13 Oktober, 2013. Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti atau program yang dirancang oleh guru-guru tahun 6 selepas UPSR. Semua murid tahun 6 telah terlibat dalam aktiviti ini mengikut kumpulan masing-masing. Ahli setiap kumpulan terdiri daripada 5 hingga 7 orang dengan dibantu oleh seorang guru pembimbing. Semua peralatan serta bahan yang diperlukan semasa menyediakan sandwish adalah dibawa sendiri oleh pelajar mengikut  agihan dalam kumpulan masing-masing. Aktiviti pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti wajib selepas peperiksaan UPSR setiap tahun.

Antara objektif utama aktiviti ini diadakan ialah :-
  • Memenuhi aktiviti tahunan murid tahun 6 SKKK1 selapas peperiksaan UPSR
  • Mengcungkil bakat dan kreativiti yang terpendam dalam memasak
  • Mengcungkil bakat dan kreativiti dalam bidang menghidang atau menghias di meja makan
  • Mengeratkan hubungan antara guru dan murid
  • Menanam sikap kerjasama, kebolehan mengurus dan toleransi di kalangan murid 


  
 




PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.