GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Oct 20, 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN 2011

"Menggemilangkan Akademik"





20 Oktober 2011 -  Satu majlis penyampaian bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan kepada murid - murid SKKK 1 telah diadakan pada hari ini. Majlis bermula jam 2.30 petang yang bertempat di Dewan SKKK 1. Katagori bantuan yang disampaikan adalah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Majlis penyampaian bantuan ini melibatkan 351 orang murid SKKK 1 yang layak menerima. Para ibubapa atau penjaga murid-murid yang layak telah hadir untuk menerima bantuan tersebut bagi pihak anak - anak mereka. Majlis telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Ariffin b. Othman iaitu Timbalan Pengarah Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Dun Demit. Dalam ucapannya beliau berharap agar semua ibu bapa yang hadir pada hari ini dapat menggunakan bantuan yang telah diberikan dengan sebaik - baiknya untuk kegunaan persekolahan anak-anak mereka. Kerajaan persekutuan katanya, tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat terutama dikalangan golongan miskin di negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Bantuan kewangan untuk persekolahan anak-anak golongan miskin adalah merupakan antara agenda utama kerajaan persekutuan dalam menjaga kebajikan golongan miskin di negeri ini.
Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh dalam ucapannya pula, telah menyenaraikan tiga bentuk bantuan kewangan yang utama yang disediakan oleh kerajaan persekutuan  disamping kemudahan dan keistimewaan lain kepada murid-murid sekolah  khasnya murid-murid miskin iaitu bantuan KWAPM, bantuan E-Kasih dan bantuan wang ehsan. Murid-murid SKKK 1 juga turut terlibat dengan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan itu . Diantaranya adalah bantuan KWAPM yang melibatkan 351 orang murid dimana setiap orang akan menerima bantuan sebanyak RM 200. Daripada jumlah murid tersebut, bayaran untuk 96 orang penerima telah dikreditkan ke akaun  Bank Simpanan Nasional dan 244 orang lagi dikreditkan ke akaun Bank Rakyat. Namun begitu terdapat 11 orang penerima yang terpaksa di pulangkan kembali wangnya kepada Kerajaan kerana mereka didapati telah pun mendapat bantuan E-Kasih. Bantuan E-Kasih merupakan satu bentuk sumbangan bulanan kerajaan persekutuan kepada para pelajar yang mana pendapatan isirumah ibubapa mereka adalah diantara RM 1 000 - RM 1 500 sebulan. Seramai 13 orang murid SKKK 1 telah dikenalpasti dan layak menerima bantuan tersebut yang berjumlah RM 200 sebulan. Seterusnya bantuan Wang Ehsan diberikan kepada murid-murid yang tidak terpilih menerima bantuan KWAPM dan E-Kasih, dimana pendapatan isi rumahkeluarga mereka adalah kurang dari RM 1 500 sebulan. Tn. Guru Besar juga mengumumkan yuran persekolahan 2012 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri adalah percuma sebanyak RM 4.50. Walaubagaimanapun bayaran lain-lain seperti peralatan atau aktiviti sekolah masih dikenakan seperti biasa mengikut keperluan semasa. Seterusnya semua murid atau pelajar sekolah bermula dari tahun 1 hingga tingkatan 5 akan diberikan bantuan persekolahan oleh kerajaan sebanyak RM 100 seorang tanpa mengambil kira status kewangan keluarga mereka. Buku teks juga diberi percuma kepada semua murid tidak kira dari kalangan kaya atau miskin. Kerajaan juga meneruskan program Bantuan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) yang diberikan secara percuma kepada 186 orang murid SKKK 1 yang layak mengikut kategori yang ditetapkan. Sarapan pagi ini diberikan secara percuma pada setiap hari persekolahan  sepanjang tahun  bermula jam 7.00 pagi hingga 7.30 pagi di kantin sekolah. Minuman Susu 1Malaysia juga diberikan secara percuma kepada semua murid RMTS yang terlibat. Bermula pada tahun ini juga minuman Susu 1Malaysia yang dibekalkan kepada murid-murid yang terlibat, hendaklah diminum di sekolah sahaja dan tidak boleh dibawa pulang ke rumah atau diminum di lain-lain masa. Ianya hendaklah diminum atau dihabiskan di hadapan guru. Peraturan ini dibuat bagi mengelakkan berlaku sebarang kemungkinan susu tamat tempoh, sakit perut, susu masam atau sebagainya. Seterusnya Vitamin 1Malaysia juga akan diberikan dalam masa terdekat kepada semua murid RMTS. Bantuan yang seterusnya adalah dari badan NGO Kelantan iaitu Tabung Orang Muda Berbakti Kelantan (TOMBAK). Seramai 36 orang murid SKKK 1 (mengikut kelayakan yang ditetapkan) telah menerima bantuan ini iaitu sebanyak RM 1.50 sehari untuk perbelanjaan di sekolah. Sekiranya murid tidak berbelanja, duit tersebut akan dikumpulkan dan akan dimasukkan ke akaun Tabung Haji murid tersebut. Sehubungan dengan itu Tn. Guru Besar meminta agar semua ibu bapa yang hadir bersyukur dengan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh pihak kerajaan persekutuan kepada anak-anak mereka. Amalan berjimat cermat keatas bantuan kewangan yang telah diberikan adalah amat perlu agar segala kemudahan dan keistimewaan tersebut dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh anak-anak mereka semasa di alam persekolahan. Semoga dengan adanya bantuan - bantuan tersebut, ianya sedikit sebanyak dapat membantu murid-murid dikalangan golongan miskin membina keyakinan semasa menimba ilmu dan dapat bersaing dengan rakan - rakan mereka yang lain.

MAJLIS KHATAM QURAN PERINGKAT SEKOLAH 2011

"Menggemilangkan Akademik"


20 Oktober 2011 - Majlis Khatam Quran Peringkat Sekolah tahun 2011 telah diadakan pada hari ini bermula jam 8.00 pagi - 12.00 tgh. Majlis ini melibatkan semua murid tahun 6 serta semua guru SKKK 1. Seramai 94 orang murid tahun 6 yang telah khatam Al-Quran menerima sijil dan hadiah penghargaan daripada  pihak sekolah.  Majlis yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SKKK 1. Antara objektif utama majlis ini diadakan adalah untuk melahirkan murid yang terdidik dengan Al-Quran, melahirkan generasi murid yang memahami keagungan dan kemuliaan Al-Quran, memupuk murid dengan akhlak yang terpuji, menghargai dan mengiktiraf serta memberi pendedahan kepada kumpulan murid berkenaan serta menarik minat murid untuk membaca dan mengkhatam Al-Quran. Dalam ucapannya Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh berharap majlis yang diadakan pada hari ini dapat membina ransangan dan memberi motivasi kepada semua murid serta dapat memupuk minat untuk lebih maju dalam matapelajaran Pendidikan Agama Islam.Beliau juga merakamkan ucapan tahniah dan bersyukur kepada semua murid yang telah tamat Al-Quran dan kepada mereka yang masih belum khatam lagi diharap berusaha sehingga berjaya. Insyallah. 

Oct 17, 2011

PERTANDINGAN MENYEDIAKAN SANDWISH

"Menggemilangkan Akademik"





 17 OKTOBER, 2011 - Pertandingan menyediakan sarapan pagi sandwish bagi murid-murid tahun 6 telah diadakan pada pagi ini di Anjung Bestari SKKK 1. Aktiviti   yang diadakan pada hari ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang selepas peperiksaan UPSR. Pertandingan ini telah dikelolakan oleh guru-guru tahun 6, khas untuk murid-murid tahun 6 SKKK 1 yang melibatkan 21 kumpulan. Semua murid tahun 6 lelaki dan perempuan terlibat dengan aktiviti ini yang telah dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing. Aktiviti bermula jam 8.00 pagi, bermula dengan penyediaan bahan-bahan asas yang dibawa sndiri oleh murid-murid sehingga menghidang, semuanya dilakukan sendiri oleh murid-murid. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk memantapkan sikap kepimpinan, kerjasama, kreatif, yakin pada diri sendiri dan menjana ideal. Penilaian bagi setiap kumpulan dibuat berdasarkan penglibatan semua ahli kumpulan, kepimpinan, keserasian, keharmonian dan keseluruhan dari segi keaslian ideal.

Oct 14, 2011

MESYUARAT AGUNG PIBG SKKK 1

"Menggemilangkan Akademik"







Mesyuarat Agung PIBG dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid-murid  SKKK 1 telah diadakan pada 13 Oktober, 2011 jam 2.40 petang bertempat di Dewan SKKK 1. Dalam majlis yang sama juga, semua ibu bapa, guru dan para jemputan yang hadir boleh membuat pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Kubang Kerian  di perkarangan Anjung MCN SKKK 1, sesuai dengan tema mesyuarat agung PIBG pada tahun ini iaitu "Masyarakat Cergas".
Tn. Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh dalam ucapannya menyeru agar semua ibu bapa yang hadir mengambil berat dengan aktiviti persekolahan anak masing-masing, terutama waktu menghantar dan mengambilnya biarlah pada waktu yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini memandangkan kawasan sekolah sunyi apabila menjelang waktu malam. Selain itu beliau juga memaklumkan bahawa SKKK 1 telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Belia dan Sukan sebagai sekolah pertama untuk program bola sepak negara. SKKK 1 telah dibari mandat untuk mengendalikan pemilihan "My Kid Soccer". Pemilihan yang dibuat ini adalah hasil daripada kecemerlangan sekolah dalam bidang kokurikulum sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam bola sepak ke Saitama Jepun baru-baru ini. Seterusnya Tn. Guru Besar juga, memaklumkan majlis peyampaian wang KWAPM seramai 351 orang murid akan diadakan pada 20 Oktober, 2011 jam 2.30 petang, di SKKK 1. Surat jemputan akan diedarkan dalam masa terdekat.  Seterusnya beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam menjayakan sesuatu program dan terima kasih juga kerana meluangkan masa untuk hadir pada hari ini. Rakaman penghargaan dan terima kasih juga kepada jemputan khas Dr. Nik Hajrah bt. Nik Ibrahim dan kakitangan Pejabat Kesihatan Kubang Kerian di atas kesudian merasmikan majlis mesyuarat agung serta membuat pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua yang hadir pada hari ini.   

Oct 12, 2011

LAWATAN KAJIAN PELAKSANAAN KSSR TAHUN 1/2011

"Menggemilangkan Akademik"


11 OKTOBER, 2011 - Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, Pn. Roziah bt. Idros telah membuat lawatan ke SKKK 1 untuk membuat kajian dan soal selidik tentang keberkesanaan  pelaksanaan KSSR tahun 1 / 2011. Semua guru SKKK 1 yang mengajar di tahun 1 telah diberi sedikit taklimat serta maklum balas tentang pelaksanaan KSSR yang telah dijalankan di sekolah sepanjang tahun ini. Semua guru yang terlibat telah mengisi borang soal selidik dan berbincang perkara yang berkaitan dengan perlaksaan KSSR  tahun 1 di SKKK 1.

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.