GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Oct 20, 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN 2011

"Menggemilangkan Akademik"





20 Oktober 2011 -  Satu majlis penyampaian bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan kepada murid - murid SKKK 1 telah diadakan pada hari ini. Majlis bermula jam 2.30 petang yang bertempat di Dewan SKKK 1. Katagori bantuan yang disampaikan adalah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Majlis penyampaian bantuan ini melibatkan 351 orang murid SKKK 1 yang layak menerima. Para ibubapa atau penjaga murid-murid yang layak telah hadir untuk menerima bantuan tersebut bagi pihak anak - anak mereka. Majlis telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Ariffin b. Othman iaitu Timbalan Pengarah Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Dun Demit. Dalam ucapannya beliau berharap agar semua ibu bapa yang hadir pada hari ini dapat menggunakan bantuan yang telah diberikan dengan sebaik - baiknya untuk kegunaan persekolahan anak-anak mereka. Kerajaan persekutuan katanya, tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat terutama dikalangan golongan miskin di negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Bantuan kewangan untuk persekolahan anak-anak golongan miskin adalah merupakan antara agenda utama kerajaan persekutuan dalam menjaga kebajikan golongan miskin di negeri ini.
Tn. Guru Besar SKKK 1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh dalam ucapannya pula, telah menyenaraikan tiga bentuk bantuan kewangan yang utama yang disediakan oleh kerajaan persekutuan  disamping kemudahan dan keistimewaan lain kepada murid-murid sekolah  khasnya murid-murid miskin iaitu bantuan KWAPM, bantuan E-Kasih dan bantuan wang ehsan. Murid-murid SKKK 1 juga turut terlibat dengan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan itu . Diantaranya adalah bantuan KWAPM yang melibatkan 351 orang murid dimana setiap orang akan menerima bantuan sebanyak RM 200. Daripada jumlah murid tersebut, bayaran untuk 96 orang penerima telah dikreditkan ke akaun  Bank Simpanan Nasional dan 244 orang lagi dikreditkan ke akaun Bank Rakyat. Namun begitu terdapat 11 orang penerima yang terpaksa di pulangkan kembali wangnya kepada Kerajaan kerana mereka didapati telah pun mendapat bantuan E-Kasih. Bantuan E-Kasih merupakan satu bentuk sumbangan bulanan kerajaan persekutuan kepada para pelajar yang mana pendapatan isirumah ibubapa mereka adalah diantara RM 1 000 - RM 1 500 sebulan. Seramai 13 orang murid SKKK 1 telah dikenalpasti dan layak menerima bantuan tersebut yang berjumlah RM 200 sebulan. Seterusnya bantuan Wang Ehsan diberikan kepada murid-murid yang tidak terpilih menerima bantuan KWAPM dan E-Kasih, dimana pendapatan isi rumahkeluarga mereka adalah kurang dari RM 1 500 sebulan. Tn. Guru Besar juga mengumumkan yuran persekolahan 2012 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri adalah percuma sebanyak RM 4.50. Walaubagaimanapun bayaran lain-lain seperti peralatan atau aktiviti sekolah masih dikenakan seperti biasa mengikut keperluan semasa. Seterusnya semua murid atau pelajar sekolah bermula dari tahun 1 hingga tingkatan 5 akan diberikan bantuan persekolahan oleh kerajaan sebanyak RM 100 seorang tanpa mengambil kira status kewangan keluarga mereka. Buku teks juga diberi percuma kepada semua murid tidak kira dari kalangan kaya atau miskin. Kerajaan juga meneruskan program Bantuan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) yang diberikan secara percuma kepada 186 orang murid SKKK 1 yang layak mengikut kategori yang ditetapkan. Sarapan pagi ini diberikan secara percuma pada setiap hari persekolahan  sepanjang tahun  bermula jam 7.00 pagi hingga 7.30 pagi di kantin sekolah. Minuman Susu 1Malaysia juga diberikan secara percuma kepada semua murid RMTS yang terlibat. Bermula pada tahun ini juga minuman Susu 1Malaysia yang dibekalkan kepada murid-murid yang terlibat, hendaklah diminum di sekolah sahaja dan tidak boleh dibawa pulang ke rumah atau diminum di lain-lain masa. Ianya hendaklah diminum atau dihabiskan di hadapan guru. Peraturan ini dibuat bagi mengelakkan berlaku sebarang kemungkinan susu tamat tempoh, sakit perut, susu masam atau sebagainya. Seterusnya Vitamin 1Malaysia juga akan diberikan dalam masa terdekat kepada semua murid RMTS. Bantuan yang seterusnya adalah dari badan NGO Kelantan iaitu Tabung Orang Muda Berbakti Kelantan (TOMBAK). Seramai 36 orang murid SKKK 1 (mengikut kelayakan yang ditetapkan) telah menerima bantuan ini iaitu sebanyak RM 1.50 sehari untuk perbelanjaan di sekolah. Sekiranya murid tidak berbelanja, duit tersebut akan dikumpulkan dan akan dimasukkan ke akaun Tabung Haji murid tersebut. Sehubungan dengan itu Tn. Guru Besar meminta agar semua ibu bapa yang hadir bersyukur dengan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh pihak kerajaan persekutuan kepada anak-anak mereka. Amalan berjimat cermat keatas bantuan kewangan yang telah diberikan adalah amat perlu agar segala kemudahan dan keistimewaan tersebut dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh anak-anak mereka semasa di alam persekolahan. Semoga dengan adanya bantuan - bantuan tersebut, ianya sedikit sebanyak dapat membantu murid-murid dikalangan golongan miskin membina keyakinan semasa menimba ilmu dan dapat bersaing dengan rakan - rakan mereka yang lain.

No comments:

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.