GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Apr 30, 2014

MAJLIS SARANA PIBG DAN PENERANGAN PBS

30 APRIL, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1







Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa adalah satu program yang telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan untuk melibatkan PIBG dan  ibu bapa dalam program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sokongan dan penglibatan ibu bapa adalah penting dalam membantu pihak sekolah dalam meningkatkan kecemerlangan sekolah. Ibu bapa boleh membantu pihak sekolah dengan menjadi ahli Kumpulan Sokongan Ibu Bapa ( KISB ).

Sehubungan dengan itu SKKK1 telah mengambil maklum dan bertindak segera dalam merealisasikan program tersebut dengan mengadakan majlis sarana PIBG dan penerangan PBS kepada semua ibu bapa tahap 1 (tahun 1 - 3) . Majlis telah diadakan dengan jayanya pada pagi ini dan telah dirasmikan dan diberi penerangan tentang PBS  oleh En. Abdullah b. Mohd Zain, Penolong Pegawai PPD, Unit Peperiksaan Dalaman, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu. Dalam ucapan ringkasnya, beliau merakamkan sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan sekolah SKKK1 kerana telah mengambil langkah awal dalam merealisasikan program ini. Beliau juga turut memaklumkan SKKK1 merupakan sekolah pertama dalam PPD Kota Bharu yang merealisasikan program yang telah di rancang oleh KPM ini. 

Taklimat ringkas tentang sarana telah dijelaskan oleh Pn. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pn. HJH. Noraini bt. Abdullah
Bahan dan maklumat lanjut tentang sarana PIBG ini boleh dilayari di link di bawah :-  

Seterusnya, bagi memenuhi program yang telah diadakan pada hari ini, pihak sekolah telah menjemput pihak pengurusan pembelajaran interaktif Zoom-a untuk memberi penerangan dan taklimat tentang pembelajaran interaktif secara maya tersebut kepada semua ibu bapa yang hadir. Kepada semua ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pihak sekolah atau pihak pengurusan Zoom-a untuk mendapat keterangan lanjut tentang pembelajaran interaktif tersebut.

Dalam ucapan ringkas alu-aluan, Tn. Guru Besar merakamkan ucapan terima kasih kepada En Abdullah b. Mohd Zain Penolong Pegawai PPD KB, YDP PIBG, para ibu bapa yang sudi meluangkan masa bersama pada hari ini, sebagai tanda sokongan kepada pihak sekolah dalam menjayakan sesuatu program yang melibatkan ibu bapa. Seterusnya beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru serta kakitangan sekolah yang turut serta berganding bahu dalam menjayakan program yang diadakan pada hari ini. Sesungguhnya tanpa kerjasama dan sokongan dari semua pihak, tidak mungkin majlis seumpama ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur.


Apr 28, 2014

SELAMAT BERSARA

28 April, 2014 : SK Kubang Kerian 1







Bertemu dan berpisah adalah lumrah kehidupan. Setiap adanya permulaan pasti akan ada akhirnya. Pada hari ini seorang lagi warga SKKK1 meninggalkan jawatan bersara wajib dan telah diraikan majlis persaraan dengan begitu meriah sekali bertemakan Arabia. Beliau yang dimaskudkan tidak lain dan tidak bukan, Ustaz Mahamood b. Mat Hassan. Bagi memeriahkan majlis, semua guru serta kakitangan SKKK1 berpakaian jubah hitam bagi perempuan dan jubah putih bagi lelaki. Dalam majlis yang sama turut di adakan persembahan nasyid arab dari kumpulan guru-guru lelaki SKKK1. Tidak ketinggalan turut sama dalam persembahan tersebut ialah Tn. Guru Besar sendiri Tn. Hj. Mohamad b. Che Noh.

Ustaz Mahamood memulakan tugas sebagai guru agama di SKKK1 pada tahun 1994, beliau merupakan seorang yang mudah untuk dibawa berbicara dan berbincang dalam apa juga aktiviti yang diadakan disekolah. Dalam ucapan ringkas, Tn. Guru Besar mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang berada di sekolah ini. Sesungguhnya beliau telah banyak menyumbangkan kerjasama, keringat peluh dan ideal yang bernas dalam sama-sama merealisasikan pelbagai  aktiviti yang diadakan di sekolah.

Dalam ucapan ringkas beliau, Ustaz Mahamood menyifatkan  bertugas di SKKK1 telah meninggalkan begitu banyak kenangan manis. Beliau begitu selesa bertugas di bawah para pentadbir yang istimewa bagi beliau dan mempunyai rakan-rakan  sejawatan yang begitu mesra seumpama adik beradik. Seterusnya beliau juga memohon berbanyak maaf dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga sekolah kerana telah bertungkus lumus menjayakan majlis yang begitu meriah pada hari in. Insyallah jika di panjangkan usia berjumpa lagi di lain ketika.

Apr 24, 2014

SYABAS DAN SELAMAT MENERUSKAN PERJUANGAN

24 APRIL, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1 

Selamat berpisah, syabas dan selamat meneruskan perjuangan untuk menjadi seorang pendidik, diucapkan kepada 4 orang guru pelatih IPGM Kampus Kota Bharu (Nazim, Henry, Khairunnisa dan Syakira) yang telah menamatkan latihan mengajar(praktikum) selama sebulan di SKKK 1, bermula 30 Mac, 2014 hingga 24 April, 2014. 

Harapan dan doa semoga mereka dapat menggunakan segala ilmu dan pengalaman selama berada di SKKK1 untuk kecemerlangan dalam pendidikan pada masa akan datang. Sehubungan dengan itu seluruh warga sekolah mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada di sekolah ini. Insyallah jika di panjangkan umur berjumpa lagi di lain kesempatan.

 

Taklimat ringkas dan salam perpisahan daripada 
Penolong Kanan Pendidikan Khas, SKKK1

Cg Nazim dan Cg Henry bergambar kenangan bersama Penolong Kanan Pendidikan Khas

Cikgu Khairunnisa dan Cikgu Syakira bergambar kenangan 
bersama guru pembimbing Cg. Norhaida

Apr 22, 2014

PROGRAM MEMBACA 1 MALAYSIA

22 April, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1

Program Membaca 1 Malaysia adalah Gerakan Tabiat Membaca. Ianya merupakan satu aktiviti utama Kementerian Pelajaran Malaysia yang diurus setiakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Ia bertujuan membina tabiat membaca dalam kalangan murid sekolah dan pembelajaran sepanjang hayat. Dengan ini Program Membaca 1Malaysia telah dicadangkan sebagai salah satu aktiviti memenuhi program ini dan bagi memenuhi masa lapang murid-murid selepas sesi peperiksaan berakhir. 

Seluruh warga SKKK1 turut menyertai Program Membaca 1 Malaysia yang diadakan serentak pada hari ini di seluruh Malaysia bermula jam 10.00 pagi hingga jam 10.10 pagi . Semua murid dan guru telah sama-sama membaca selama 10 minit bertempat di Anjung MCN. Program dijalankan dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah. Sebanyak 1300 buah buku telah disediakan oleh Pusat Sumber Sekolah untuk memenuhi program membaca 1 Malaysia pada pagi ini.

Selepas membaca selama 10 minit tersebut, beberapa orang murid telah dipanggil untuk membaca sinopsis bahan bacaan yang telah dibaca sebentar tadi. Beberapa hadiah menarik telah disediakan untuk memeriahkan program tersebut. Hadiah telah disumbangkan oleh Koperasi SKKK1.

Dalam ucapan ringkas, Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh telah memaklumkan beberapa objektif utama program ini dijalankan ialah :-
  • Mengisi masa lapang murid-murid selepas peperiksaan. 
  • Menggerakkan program / aktiviti galakan membaca. 
  • Memupuk minat membaca secara berterusan (khasnya semasa waktu cuti sekolah dan juga sepanjang hayat). 
  • Menjadikan PSS / Perpustakaan Negeri / Perpustakaan Desa sebagai tempat rujukan bahan bacaan.
Semua murid SKKK1 membaca selama 10 minit bermula
jam 10.00 pagi menyahut Program Membaca 1 Malaysia 2014


Salah seorang pelajar istimewa turut menceritakan 
sinopsis bahan bacaan yang telah dibaca

Salah seorang penerima hadiah bagi sesi menceritakan 
sinopsis buku bacaan yang telah dibaca sebentar tadi

Semua guru SKKK1 turut membaca buku bersama-sama murid 10 minit

Apr 20, 2014

WARNA WARNI PERHIMPUNAN PAGI

20 April, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1


Peserta Pertandingan Batu Seremban

Peserta Pertandingan Sukan Gimnastik dan Artistik

Penyampaian Hadiah Pertandingan Perkhemahan SKKK1 2-14

 Peserta Pertandingan Ragbi

Majlis perhimpunan pagi pafa hari ini diwarnakan dengan pelbagai aktiviti menarik dan penyampaian beberapa hadiah kepada murid-murid yang telah berjaya dalam pelbagai pertandingan antaranya :-
  • Johan(berpasukan) dan tempat ketiga (ParalelBar) Kejohanan Remaja Kebangsaan Siri 1/2014 Sukan Gimnastik Artistik  
  • Johan, Naib Johan dan Gangsa - Kejohanan Pelapis Peringkat Zon Timur Sukan Gimnastik Artistik 
  • Tempat ke 3 Pertandingan Batu Seremban Peringkat QIT Kota Kembal
  • Tempat ke 3 Kejohanan Ragbi Peringkat MSSD (12 orang)
  • Penyampaian hadiah pertandingan perkhemahan yang diadakan minggu lepas : -
- Pertandingan Khemah tercantik - Puteri Islam
- Pertandingan Kawad kaki - Pengakap
- Pertandingan Membina Istana Pasir - PBSM
- Pertandingan Malam Kebudayaan - TKRS


Apr 18, 2014

KEM BESTARI SOLAT TAHAP 1

18 APRIL, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1





Kem Bestari Solat merupakan salah satu aktiviti wajib yang dilaksanakan pada setiap tahun untuk memastikan murid dapat menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan, dan penghayatan.
Kem Bestari Solat Siri 1 untuk murid-murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) telah diadakan pada hari ini dengan jayanya bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tgh. Aktiviti di jalankan secara teori dan amali, dikendalikan oleh guru Pendidikan Agama Islam, guru j-Qaf dan guru Fardu Ain (KAFA).

Antara objektif utama Kem Bestari Solat ialah :-
  • Murid dapat mengambil wuduk dengan sempurna.
  • Murid dapat mengetahui bilangan rakaat solat-solat fardu dengan betul.
  • Murid dapat melaksanakan semua perbuatan serta bacaan dalam solat betul dan lancar.
  • Murid dapat melaksanakan solat dengan sempurna samaada secara bersendirian atau berjamaah.

Apr 17, 2014


PPKI SKKK1 JOHAN KESELURUHAN MINI SUKANEKA 2014

 16 APRIL, 2014 : PPKI SK KUBANG KERIAN 1


Tahniah dan syabas diucapkan kepada murid-murid PPKI SK Kubang Kerian 1 kerana telah berjaya merangkul Johan keseluruhan dalam pertandingan Mini Sukaneka 2014, anjuran PPG Pendidikan Khas Kohot 1 IPGM kampus Kota Bharu. Pertandingan telah diadakan pada 16 April, 2014, bertempat di Padang Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu Pengkalan Chepa.

Apr 14, 2014

KEJOHANAN OLAHRAGA PENDIDIKAN KHAS PPD KOTA BHARU 2014

13 APRIL, 2014 : PPKI SK KUBANG KERIAN 1


 

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran Sk. Kubang Kerian 1, telah menghantar beberapa orang wakil murid untuk menyertai kejohanan olahraga pendidikan khas peringkat PPD  Kota Bharu yang telah diadakan pada 13 April, 2014 bertempat di Stadium Mini Kijang Mas, Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab Kota Bharu. Syabas buat mereka kerana telah memberanikan diri untuk menyertai acara yang dipertandingkan walaupun tidak mendapat tempat dalam kejohanan tersebut. Cuba lagi di tahun hadapan. Insyallah.

Apr 10, 2014

KAYUHAN EMAS DAN PERKHEMAHAN TAHUNAN SKKK1 2014

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

10 April, 2014 :SK KUBANG KERIAN 1


Kayuhan emas dan perkhemahan Unit Beruniform SKKK1 bagi tahun 2014 diadakan pada hari ini 10 April, 2014 hingga Sabtu 12 April 2014 bertempat di Tapak Perkhemahan Gelora Beach Resort Kubang Golok Bachok. Seramai lebih kurang 200 orang peserta dari 5 pasukan beruniform telah menyertai perkhemahan ini. Aktiviti perkhemahan unit beruniform ini diadakan bersama-sama dengan aktiviti Kayuhan Emas. Murid yang menyertai kayuhan emas berbasikal sejauh lebih kurang 22 KM bermula dari sekolah ke tapak perkhemahan. Peserta kayuhan emas telah dilepaskan dengan rasminya oleh YDP PIBG Tn. Hj. Mohd Yunus @ Ab. Halim b. Tahir. Dalam perjalanan ke tapak perkhemahan peserta kayuhan emas berhenti rehat menghilangkan dahaga di dua buah sekolah yang telah bermurah hati menyumbangkan minuman kepada semua peserta.

 Singgah sebentar di SK Beris Panchor (Destinasi 2)

 Selamat sampai di Tapak Perkhemahan Gelora Beach Resort Bachok

 Berehat sebentar hilangkan dahaga di SK Panji Kota Bharu (Destinasi 2)





 Perasmian aktiviti Kayuhan Eamas dan Perkhemahan Tahun SKKK1 
dan senaman kecergasan sebelum bertolak

Sehubungan itu Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengucapkan tahniah kepada semua murid yang menyertai aktiviti ini, terima kasih kepada semua guru dan warga SKKK1 yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Tidak dilupakan kepada Guru Besar dan seluruh warga SK Panji(destinasi 1) dan SK Beris Panchor (destinasi 2) kerana telah bermurah hati menerima kunjungan peserta kayuhan emas SKKK1 dan seterusnya menyumbangkan minuman kepada semua peserta. Insyallah panjang umur aktiviti seperti ini akan diadakan sebagai aktiviti rutin tahunan SKKK1.

Apr 7, 2014

CATATAN PERISTIWA DI PAGI AHAD

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

6 April, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1 



 

Perhimpunan pagi Ahad pada hari ini dipenuhi dengan pelbagai catatan peristiwa. Majlis dimulakan dengan Ceramah Kesedaran Wabak Denggi, disampaikan oleh Pegawai Kesihatan dari Klinik Kesihatan Kubang Kerian. Disusuli dengan penyampaian pelbagai hadiah kepada murid-murid yang telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan dalam Kokurikulum yang telah disertai baru-baru ini samada diperingkat QIT Kota Jembal atau peringkat PPD. Antaranya ialah :-
  • Johan (lelaki - adik Muhammad Azim Hakimi b. Mohd Mazdi) dalam pertandingan bercerita - peringkat QIT Kota Jembal
  • Naib Johan dalam pertandingan Nasyid - peringkat QIT Kota Jembal
  • Pingat Emas dalam acara 100meter lelaki - peringkat QIT Kota Jembal(MSSK)
  • Pingat Emas dalam acara 200meter lelaki - peringkat QIT Kota Jembal(MSSK)
  • Pingat Emas dalam acara lompat jauh lelaki - peringkat QIT Kota Jembal(MSSK)
  • Pingat Gangsa dalam acara 200meter lelaki - peringkat QIT Kota Jembal(MSSK) 
  • Pingat Gangsa dalam acara 4 x 200meter dan 4 x 100meter lelaki - peringkat MSSD Kota Bharu
  • Johan dalam acara Bola Baling Lelaki dan akan mewakili Kota Bharu Utara peringkat MSSK pada bulan Mei ini. 
 

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.