GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

May 26, 2014

PROGRAM 1 MURID 1 SUKAN (JOGATHON)

26 MEI, 2014 - SK KUBANG KERIAN 1







Program 1 Murid 1 Sukan (1M1S) 2014 SKKK1 telah diadakan dengan jayanya pada hari ini bermula jam 8.00 pagi - 12.45 tgh. Aktiviti 1M1S  pada tahun ini melibatkan semua warga sekolah termasuk murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (Masalah Pembelajaran). Aktiviti di mulakan dengan taklimat ringkas Jogathon, senamrobik dan seterusnya pelepasan murid oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Tn. Hj. Abd Razak b. Adahan diiringi dengan Penolong Kanan Kokurikulum, Pn. Rozanita bt. Ismail. Selepas larian, murid berkumpul dianjung MCN menyanyi bersama lagu "1 Murid 1 Sukan" dan menerima hadiah bagi yang mendapat tempat 1 hingga tempat ke 10 bagi setiap tahun. Semoga program yang sihat ini akan menjadi acara wajib setiap tahun yang perlu disertai oleh warga SKKK1 pada tahun-tahun yang akan datang. Insyallah.

May 22, 2014

SELAMAT BERSARA

22 MEI, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1


Pada hari ini merupakan hari terakhir bergelar sebagai kakitangan awam bagi dua orang warga SKKK1 yang melabuhkan tirai sebagai penjawat awam pada hari ini kerana bersara wajib. Beliau yang dimaksudkan ialah Pn. Wan Siti Fetimah  bt. Wan Ismail (Pembantu Tadbir) dan Pn. Hjh. Aeina bt. Yaacub (Guru SKKK1). Seluruh warga sekolah mengucapkan selamat bersara, semoga dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang berpanjangan dan dimurahkan rezeki. Sebagai tanda ingatan kenang-kenangan warga SKKK1 telah meraikan persaraan beliau dalam satu majlis yang begitu meriah bertemakan gaya "RETRO". Bagi memeriahkan majlis beberapa orang guru lelaki telah mempersembahkan nyanyian secara solo, berduet dan nyanyian berkumpulan oleh guru-guru perempuan. Tidak ketinggalan, Tn. Guru Besar turut memeriahkannya dengan mempersembahkan sebuah lagu retro. 

  
Pn. Hjh. Aeina (yang dirai) dibawa masuk ke pentas dengan menaiki Moto Vespa

Pn. Hjh. Aeina memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik setelah tamat latihan perguruan di Institut Perguruan Melayu Melaka pada tahun 1977 di SK Long Ghaffar selama 12 tahun, bertukar ke SK Kubang Kerian 2 pada tahun 1989 selama 2 tahun, seterusnya ke SK Melor pada tahun 1995 selama 2 tahun dan ke SK Kubang Kerian 1 pada tahun 1998 hingga ke hari ini selama lebih kurang 16 tahun.

Pn. Wan Siti Fetimah (yang dirai) dibawa masuk ke pentas dengan menaiki Moto Vespa

Pn. Wan Sit Fetimah atau lebih sinonim dengan panggilan Kak Wan, telah memulakan tugas sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Kastam dan Eksas Kuala Lumpur pada tahun 1982 - 1983, bertukar ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuantan selama 10 tahun (1983 - 1991), seterusnya bertukar ke SMK Puteri Saadong Kelantan selama 11 tahun, pada tahun 2003 berpindah ke SK Sultan Ismail 4 dan seterusnya berpindah ke SK Kubang Kerian 1 pada tahun 2004 hingga hari ini.

 Persembahan Nyanyian Dari Kumpulan Guru Perempuan

 
 Guru Besar dan Guru SKKK1 bergaya dengan gaya Retro masing-masing



PK HEM menyarungkan cincin sebagai tanda kenang-kenangan daripada warga SKKK1 untuk kedua-dua warga sekolah yang di rai


Penyampaian hadiah daripada wakil setiap panitia dan badan kebajikan guru

Oleh itu seluruh warga sekolah mengucapkan selamat bersara kepada kedua-dua warga SKKK1, dengan harapan dan doa moga di panjangkan usia, dimurahkan rezeki dan bahagia selamanya. Insyallah.

May 18, 2014

SAMBUTAN HARI GURU SKKK1 2014

18 MEI, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1





 Guru Besar SKKK1 turut membuat persembahan dikir barat.

 Guru-guru SKKK1 berpakaian sekolah bertepatan dengan tema 'All School'

 Ibu bapa turut bergambar kenangan .....
menghadiahkan sebiji kek hari guru 'terima kasih cikgu'  kepada warga guru SKKK1.
Pentadbir sekolah memotong kek sambutan hari guru peringkat SKKK1 2014
Sambutan perayaan hari guru peringkat sekolah telah diadakan dengan jayanya pada pagi ini.  Perayaan sambutan hari guru pada tahun ini sungguh meriah sekali dengan tema pakaian semua guru "Old School". Semua guru-guru SKKK1 di hendaklah berpakaian sekolah. Oleh itu suasana menjadi begitu meriah dengan gelak ketawa dari guru-guru yang berpakaian sekolah yang semestinya telah berpuluh atau berbelas tahun meninggalkan alam persekolahan. Kesungguhan, kerjasama serta komitmen yang diberikan oleh semua guru membuatkan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur dan berjaya dengan begitu meriah. Majlis sambutan dimulakan dengan upacara memotong kek sambutan hari guru oleh semua pentadbir SKKK1 sebagai simbolik bermulanya aktiviti persembahan dari semua guru-guru untuk seluruh warga SKKK1.

Pelbagai acara menarik telah dirancang dan dilaksanakan. Antaranya pertandingan bola sepak bagi guru-guru lelaki, pertandingan futsal bagi guru-guru perempuan, persembahan dikir barat dari guru-guru lelaki dan pelbagai persembahan nyanyian, pertunjukan fesyen, dikir barat dan sebagainya dari kumpulan guru-guru perempuan. Semua guru SKKK1 turut menyanyikan lagu guru malaysia di awal pagi di medan perhimpunan. Sehubungan dengan itu guru besar mewakili murid-murid serta warga SKKK1 dalam ucapan ringkasnya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru yang mengajar di SKKK1, dengan ucapan terima kasih cikgu.

May 12, 2014


MAJLIS PERJUMPAAN IBU BAPA MURID TAHUN 6

12 Mei, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1
 


Majlis perjumpaan ibu bapa murid tahun 6 bersama guru-guru dan pentadbir sekolah telah diadakan pada hari ini bertempat di bilik gerakan SKKK1. Perjumpaan pada hari ini melibat ibu bapa bagi murid-murid  tahun 6 yang berada di kelas 6 Cakna dan 6 Cemerlang sahaja. Perjumpaan bersama ibu bapa murid-murid yang berada di kelas lain akan diadakan pada hari lain dalam masa terdekat. Dalam perjumpaan tersebut, Guru Besar Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengalu-alukan kehadiran semua ibu bapa dan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada pihak sekolah. 

Dalam perjumpaan ini juga, guru besar mengajak semua ibu bapa yang hadir pada hari ini supaya sama-sama berganding bahu dengan pihak sekolah untuk membimbing dan mengawal pergerakan anak-anak menjelang peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi. Guru-guru di sekolah akan sentiasa memberi bimbingan secara individu atau kumpulan untuk membimbing murid-murid yang lemah, manakala ibu bapa dirumah pula diminta untuk memastikan anak-anak membuat tugasan/kerja/latihan yang diberikan oleh guru. Semoga usaha yang bersungguh-sungguh ini akan membuahkan kejayaan yang cemerlang dalam keputusan UPSR nanti. Insyallah.

May 11, 2014

PERKONGSIAN BAHAN

11 MEI 2014 : SK KUBANG KERIAN 1
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera... Bersama-sama ini saya kongsi bahan bantuan mengajar yang telah disediakan...semoga perkongsian yang sedikit ini akan memberi manafaat kepada ramai orang. Kepada rakan yang berminat boleh mendownloadnya...semoga ianya mendapat keberkatan berpanjangan. Insyallah.

 

WARNA WARNI DI PAGI AHAD

11 MEI, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1





Penyampaian pelbagai hadiah dan cenderahati telah disampaikan pada pagi ini oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Tn. Hj. Abdul Razak b. Adahan di medan perhimpunan pagi. Tahniah diucapkan kepada semua murid yang telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan dalam bidang kokurikulum dan akademik. Antara penyampaian hadiah yang telah disampaikan pada hari ini ialah :
  • Penyampaian hadiah cenderahati kepada peserta terbaik Kem Bestari Solat Tahap 1
  • Penyampaian cenderahati tempat ke 2 Kejohanan Ragbi MSSK yang di adakan baru-baru ini di SKKK1 dan tahniah kepada 3 orang murid SKKK1 yang berjaya mewakili Kelantan untuk menyertai kejohanan ragbi MSSM.
  • Penyampaian Pingat Emas kepada (Ammar Safuan) pertandingan Tekwando (2 Cakna)
  • Penyampaian Pingat Perak kepada (Dania Maisara) pertandingan Tekwando
  • Penyampaian Pingat Gangsa kepada (Arman Irfan) pertandingan Tekwando
  • Penyampaian Sijil penyertaan kepada (adik Zulkarnaim) pertandingan Tekwando

May 8, 2014

MENYELAMI DUNIA CELIK ISTIMEWA BERSAMA PELAJAR-PELAJAR UiTM

8 MEI, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1


 





Satu program khidmat sosial yang dinamakan 'menyelami dunia celik istimewa' bersama pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu telah dijalankan pada hari ini bertempat di PPKI Masalah Pembelajaran SKKK1. Program ini bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12.30 tgh, melibatkan semua murid-murid PPKI SKKK1. Program ini dimulakan dengan taklimat ringkas tentang kelas PPKI SKKK1 yang disampaikan oleh Tn. Guru Besar sendiri, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh, disusuli dengan tayangan movie aktiviti-aktiviti kelas PPKI sepanjang tahun, seterusnya pelajar-pelajar UiTM menjalankan aktiviti sukaneka dipadang, jamuan makan, melaksanakan aktiviti pertandingan mewarna, seterusnya rombongan membuat lawatan ke kalas PPKI dan diakhiri dengan penyampaian hadiah serta cenderahati kepada semua murid yang menyertai dalam acara yang di pertandingkan hari ini. 

Dalam ucapan ringkas alu-aluan Tn. Guru Besar mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan rombongan daripada UiTM Kampus Kota Bharu ke SKKK1. Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana sudi memilih PPKI Masalah Pembelajaran SKKK1untuk menjayakan program khidmat sosial pada hari ini.

Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kenang-kenangan  antara UiTM dan PPKI SKKK1.

May 7, 2014

MEMUPUK MINDA KREATIF BERSAMA PADDLE POP

7 Mei, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1




Murid-murid tahap 2, tahun 4, 5 dan 6 telah menyertai satu program memupuk minda kreatif bersama Paddle Pop pada pagi ini bermula jam 7.45 pagi - 8.45 pagi bertempat di Anjung Bestari. Sebelum menjalankan beberapa acara menarik, murid-murid telah diberi penerangan dan taklimat ringkas tentang apa itu minda kreatif dan bagaimana cara untuk memupuk minda kreatif. Murid-murid juga telah diajar bagaimana cara untuk membuat kotak simpanan buku/rak buku daripada bahan-bahan yang mudah didapati dikeliling murid, menyusun buku mengikut kategori buku, dan menanam sikap berani serta yakin diri untuk menyertai aktiviti y ang diadakan di atas pentas.Sebelum berakhir semua murid telah dihadiahkan cenderahati berupa buku menguji minda.

PASUKAN KOTA BHARU SELATAN JOHAN MSSK 2014

7 Mei, 2014 : SK KUBANG KERIAN 1




Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Kelantan (MSSK) 2014 bawah 12 tahun telah diadakan dengan jayanya di padang SK. Kubang Kerian 1 selama 2 hari berturut-turut iaitu pada 6 dan 7 Mei, 2014. Antara daerah yang terlibat ialah, MSSD Pasir Mas, MSSD Kuala Krai, MSSD Kota Bharu Utara, MSSD Kota Bharu Selatan, MSSDTumpat, MSSD Machang, MSSD Pasir Puteh dan MSSD Jeli. 

Keputusan akhir kejohanan tersebut di sandang oleh Pasukan Kota Bharu Selatan (tempat pertama)- dua tahun berturut-turut, Pasukan Pasir Mas (tempat ke 2), Pasukan Kota Bharu Utara (tempat ke 3) dan Pasukan Kuala Krai (tempat ke 4). 3 orang murid SKKK1 telah diumumkan terpilih untuk mewakili Kelantan dalam kejohanan ragbi MSSM yang akan diadakan tidak lama lagi. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tn. Guru Besar SKKK1, selaku tuan rumah bagi kejohanan ini.

Sehubungan dengan itu seluruh warga SKKK1 selaku tuan rumah untuk kejohanan ragbi MSSK ini mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya dan syabas kepada lain-lain pasukan kerana telah memberi sokongan dan komitmen yang begitu baik sepanjang kejohanan berlangsung. Insyallah boleh mencuba lagi di lain kesempatan.

SELAMAT BERSARA

7 Mei, 2014 - SK Kubang Kerian 1



Selamat bersara di ucapkan kepada Pn. Wan Fetimah bt. Wan Ismail, iaitu Pembantu Tadbir SK Kubang Kerian 1 yang telah bersara wajib pada 6 Mei, 2014(semalam). Majlis persaraan akan diadakan pada penghujung bulan Mei, bersama-sama dengan salah seorang guru yang juga akan bersara wajib pada akhir Mei ini. Oleh itu seluruh warga sekolah mengucapkan selamat bersara dan terima kasih di atas kerjasama, sokongan yang telah diberikan selama ini. Semoga diberi kesihatan yang baik dan kebahagian yang berpanjangan hendaknya....

Kata-kata akhir dari kami warga SKKK1.....Selamat Berehat 'Kak Wan'...berjumpa lagi di majlis persaraan akhir Mei ini...Insyallah.

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.