"Menggemilangkan Akademik"
4 SEPTEMBER, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 55 TAHUN
'JANJI DITEPATI'
Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah telah diadakan selama 3 hari berturut-turut bermula 30 Ogos, 2012 hingga 4 September, 2012. Pelbagai acara dan aktiviti menarik telah diadakan sepanjang 3 hari tersebut, antaranya aktiviti menyediakan Jalur Gemilang terpanjang (55 meter) melibatkan murid tahun 4 dan 5. Aktiviti mewarna bagi murid tahap 1, melukis poster Hari Kemerdekaan bagi murid tahun 4. Aktiviti mewarna Jalur Gemilang bagi murid tahun 5 dan 6.
Seterusnya acara kemuncak sambutan hari Kemerdekaan ke 55 tahun diadakan pada hari ini bermula jam 7.45 pagi hingga jam 10.00 pagi. Acara pada hari ini dimulakan dengan bacaan doa, ceramah kemerdekaan yang telah disampaikan oleh Ustaz Md Redhuan dan seterusnya ucapan perasmian sambutan oleh Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh. Perarakan jalur gemilang 55 meter oleh murid-murid tahun 5 seramai 55 orang diiringi oleh pihak pentadbir dan guru-guru SKKK 1 meletakkan jalur Gemilang tersebut di sepanjang pagar hadapan sekolah.
Dalam ucapan ringkasnya Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 55 tahun dan berpesan kepada semua warga sekolah agar bersyukur di atas segala nikmat kemerdekaan yang telah dianugerahkan kepada kita selam ini. Seterusnya beliau juga menyeru kepada semua guru agar sentiasa ingat tentang peranan utama guru untuk mengisi makna kemerdekaan. Sesungguhnya guru-guru berada di barisan paling hadapan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti bagi memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi. Para guru diingatkan agar sentiasa brsedia untuk melakukan anjakan paradigma selari dengan perkembangan semasa peringkat global. Anjakan ini penting bagi memastikan agenda pendidikan negara kita untuk membina sebauh negara bangsa yang maju dan bersatu padu agar dapat dicapai sebagaimana dihasratkan.
Seterusnya murid-murid juga diingatkan, bahawa mereka adalah pemimpin negara pada masa hadapan. Sebagai pewaris kepimpinan negara, murid-murid perlu mempersiapkan diri dengan menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran. Hanya melalui penguasaan ilmu dan kemahiran sahajalah murid-murid dapat menyumbang sesuatu yang berharga kepada negara dan sekaligus dapat mengisi makna sebenar kemerdekaan.
Seterusnya, beliau menyeru agar semua warga sekolah dapat sama-sama mengekalkan kemrdekaan ini agar ia sentiasa berada dalam tangan kita buat selama-lamanya. janganlah kita leka dan alpa di atas kesenangan dan kemewahan yang ada sekarang kera na kelak ia akan membuatkan kita tenggelam di telan semua itu dan akhirnya negara kita tergadai.
Sebelum mengakhiri ucapan, Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua warga sekolah yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan sambutan hari kemerdekaan negara ke 55 tahun peringkat sekolah. Dengan lafaz suci 'BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM' beliau merasmikan Majlis Pelancaran Hari Kemerdekaan ke 55 peringkat sekolah.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
No comments:
Post a Comment