GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Oct 10, 2013

PERLAKSANAAN DASAR WARGA EMAS NEGARA DI SK KUBANG KERIAN 1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK"

10 OKTOBER, 2013 : SK KUBANG KERIAN 1, KOTA BHARU

Program Dasar Warga Emas Negara adalah suatu program yang dilancarkan oleh kerajaan bagi  mencapai matlamatnya iaitu : Mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang memboleh dan membantu supaya warga emas hidup sejahtera. Dasar tersebut merupakan salah satu daripada dasar-dasar utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan untuk membangunkan masyarakat prihatin terhadap fenomena penuaan dan mendayaupayakan masyarakat bagi menghadapi hari tua.






Sehubungan dengan itu SK Kubang Kerian 1, telah menjalankan beberapa program melibatkan sebilangan guru dan murid sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara di peringkat sekolah. Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara di SK Kubang Kerian 1 diterajui oleh Unit HEM melalui Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari ini ialah sukaneka. Beberapa acara menarik antara warga emas dan murid-murid SKKK1 telah diadakan. Anataranya ialah, bowling kelapa, tiup dan pecahkan belon, kukur kelapa, mencucuk manik, mencari duit dalam tepung dan membawa telur menggunakan sudu.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan aktiviti sukaneka yang telah dijalankan, dan mengharapkan agar semua aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan mencapai matlamat yang dirancang. 

Hadiah serta saguhati kepada semua pemain akan disampaikan oleh Tn. Guru Besar SKKK1 pada perhimpunan pagi Ahad minggu hadapan.Insyallah.

Oct 9, 2013

LAWATAN KEMBARA BAHASA KE SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK"

9 OKTOBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1



SK. KUBANG KERIAN 1 amat bertuah pada hari ini kerana telah menjadi destinasi pilihan untuk dilawati oleh lebih kurang 40 orang peserta yang menyertai KEMBARA BAHASA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2013. Lawatan muhibbah ini merupakan salah satu aktiviti Kembara Bahasa DBP yang bertemakan Jelajah Negara Semarakkan Bahasa dari 9 - 12 Oktober, 2013.

Antara aktiviti menarik yang sempat di adakan sempena lawatan muhibbah ini ialah memberi taklimat ringkas tentang kepentingan teknik bercerita dan cara-cara betul teknik bercerita kepada semua murid SKKK1 serta menunjuk cara membuat origami burung merpati dengan menggunakan sehelai kertas putih.

Dalam ucapan ringkas, Tn. Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengalu-alukan kedatangan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta Kembara Bahasa 2013 kerana sudi berkunjung ke SKKK1. Tidak dilupakan ribuan terima kasih juga kepada seluruh warga SKKK1 terutama Guru-guru dari Panitia Bahasa Melayu di atas kerjasama yang diberikan sepanjang menjalankan persiapan sambutan majlis pada hari ini.

 Para peserta kembara sedang menonton persembahan silat oleh murid-murid SKKK1



 Murid-murid tekun melihat cara-cara membuat origami burung merpati dengan menggunakan sehelai kertas A4

Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh memberi ucapan alu-aluan

Oct 8, 2013

KEM IBADAH MURID-MURID TAHUN 6 SKKK1

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 

8 OKTOBER, 2013 -SK KUBANG KERIAN 1, KOTA BHARU KELANTAN





Kem Ibadah Murid-murid Tahun 6 SKKK1, anjuran Panitia Pendidikan Islam telah diadakan dengan jayanya bermula Ahad dan berakhir tengahari ini (6 - 8 Okt. 2013). Kem Ibadah ini diadakan khas untuk murid-murid tahun 6 dan merupakan salah satu aktiviti yang diadakan selepas peperiksaan UPSR. Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang Kem Ibadah ini berkaitan dengan perkara-perkara wajib dan juga fardu ain serta tuntutan Agama Islam yang perlu diketahui oleh setiap orang, sebagai umat Islam. 

Dalam  ucapan penutup Kem tersebut, Guru Besar, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh menasihatkan semua murid agar mempraktikkan atau mengamalkan ilmu yang diperolehi sepanjang kem ini. Beliau juga turut mengariskan beberapa objektif Kem Ibadah ini diadakan ialah :-

1. Untuk melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi,rohani dan jasmani.
2. Melatih mereka agar dapat memahami dan seterusnya boleh mempraktikkanbeberapa ibadat sunat yang tertentu secara berjamaah mahupun secara bersendirian.

3. Memberi kesedaran kepada murid-murid tentang konsep sebenar penghayatan mereka dalam melaksanakan tuntutan agama terhadap ibu-bapa, guru-guru seterusnya masyarakat.
 

Sep 16, 2013

10 000 LANGKAH JANTUNG SIHAT

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 



16 SEPTEMBER, 2013 - SK KUBANG KERIAN 1 

Aktiviti berjalan kaki 10 000 langkah anjuran dan kerjasama bersama SK Kubang Kerian 1 dan Klinik Kesihatan Kubang Kerian telah berjalan dengan jayanya pada pagi ini bermula jam 7.30 pagi. Aktiviti berjalan kaki yang diadakan pada pagi  ini melibatkan warga SKKK1 sebagai satu usaha menyahut kempen Kementerian Kesihatan Malaysia , KEMPEN CARA HIDUP SIHAT. Aktiviti berjalan kaki ini diketuai oleh Tn Guru Besar SKKK1, Tn Hj. Mohamed b. Che Noh serta semua pentadbir, guru-guru serta kakitangan sekolah. Aktiviti ini bermula dari perkarangan sekolah, melalui jalan kampung sekitar sekolah dalam lingkungan jarak lebih kurang 4 - 5 KM (10 000 langkah). 

Objektif utama program ini di adakan adalah :-
  • Untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga sekolah dan juga masyarakat sekitar umumnya tentang penyakit-penyakit yang berkaitan dengan cara hidup yang tidak sihat dan
  • Untuk menggalakkan mereka mengamalkan amalan-amalan dan cara hidup yang mempromosikan kesihatan.

Antara aktiviti menarik sepanjang program ini berjalan ialah pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan juga cabutan nombor bertuah. Semua peserta yang terlibat di berikan cenderahati sehelai baju T-Shirt dan juga hamper. 

Sedikit Info Tentang Cara Hidup Sihat :-

Setiap individu patut mengamalkan cara hidup sihat tanpa mengira umur. Cara hidup sihat adalah satu aset untuk kehidupan seharian samada kita masih muda atau sudah tua. Kita perlu mencapai dan mengekalkan kesihatan yang baik supaya kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan mudah dan yang terbaik mengikut kemampuan kita. Kesihatan
yang baik membantu kita untuk menjadi lebih produktif dan membolehkan kita menikmati hidup pada tahap optima. Kunci untuk kehidupan yang sihat dalam kehidupan adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, tidak merokok, makan secara sihat dan belajar untuk menangani tekanan.


Cara hidup sihat :-
• Meningkatkan status kesihatan 
• Mengurangkan risiko mendapat serangan jantung, strok dan tekanan darah tinggi.
• Membuat kita kelihatan dan merasa lebih baik pada diri sendiri.
• Membolehkan kita memiliki stamina dan keupayaan yang lebih untuk menikmati  kehidupan.


Sep 10, 2013

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR 2013

"MENGGEMILANGKAN AKADEMIK" 


SELAMAT MENDUDUKI UJIAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH PADA 10 - 12 SEPTEMBER, 2013, BUAT SEMUA ANAK DIDIK SKKK1.

SELURUH WARGA SEKOLAH DAN PARA IBU BAPA SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN YANG CEMERLANG UNTUK ANDA SEMUA. INSYALLAH.
 

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.