GURU-GURU SKKK1 2022

GURU-GURU SKKK1 2022

Oct 1, 2012

HARI PENDIDIKAN KHAS

"Menggemilangkan Akademik"

SK. KUBANG KERIAN 1 - Beberapa orang wakil murid Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran SKKK 1 telah turut memeriahkan Hari Pendidikan Khas Peringkat SMK Ketereh 2012 pada hari Khamis 27 September, 2012 yang lalu  bersama beberapa orang wakil guru. Murid-murid PPKI SKKK 1 telah menyertai acara pertandingan mewarna dan mendapat hadiah saguhati penyertaan. Walaupun hanya mendapat tempat saguhati, warga sekolah mengucapkan syabas dan tahniah buat mereka kerana berani mencuba. Semoga bakat yang ada pada mereka akan dapat digilap lagi pada masa akan datang. Insyallah.




MAJLIS PERSARAAN DAN PERPISAHAN GURU SKKK1

"Menggemilangkan Akademik"

30 SEPTEMBER, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1

Majlis persaraan Cikgu Pn. Wan Fasidah dan perpisahan PK Pendidikan Khas, En. Nik Jailani b. Nik Mat telah diadakan dengan meriahnya pada hari ini. Majlis dimulakan dengan paluan kompang ketika menyambut ketibaan yang dirai dengan tema ungu (pakaian semua warga sekolah), bacaan doa oleh Ust. Mohd Ridzuan, ucapan Guru Besar SKKK1, ucapan yang dirai dan seterusnya dengan tayangan gambar-gambar kenangan yang dirai sepanjang tempoh berada di sekolah ini. Majlis diteruskan dengan penyampaan cenderahati dari pihak sekolah serta wakil-wakil setiap pantia matapelajaran dan wakil murid setiap tahun (tahun 1 - tahun 6), Kelab Guru dan seterusnya upacara menyarung cincin kenang-kenangan  dari warga sekolah yang disarungkan oleh Pn. Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Hjh. Wan Rosnani bt. Wan Hamat. Dalam ucapan ringkasnya, Guru Besar mengucapkan penghargaan dan terima kasih (kepada kedua-dua yang dirai) di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan selama berada di sekolah ini. Semoga kedua-duanya di rahmati selalu, insyallah. Selesai upacara di dewan, semua murid beratur di sepanjang perkarangan sekolah untuk lembaian terakhir buat Cikgu Wan Fasidah dan Cikgu Nik Jailani. 







Sep 9, 2012

MAJLIS RESTU ILMU MURID TAHUN 6 2012

"Menggemilangkan Akademik"

9 SEPT 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1

Majlis Restu Ilmu murid-murid tahun 6 SKKK 1 telah diadakan pada pagi ini bermula jam 8.40 pagi hingga 11.30 pagi. Majlis dimulakan dengan solat hajat terakhir di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, bacaan doa dan nyanyian lagu pembakar semangat di Anjung Bestari SKKK1.  Seterusnya ucapan oleh wakil pelajar tahun 6, ucapan oleh wakil guru dan ucapan ringkas oleh Tn. Guru besar SKKK 1. Dalam ucapan ringkasnya, Tn Guru Besar Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh mengingatkan semua murid agar menjaga makan minum serta kesihatan diri masing-masing menjelang peperiksaan UPSR yang akan berlangsung pada 11, 12 dan 13 Sept. 2012. Kesihatan yang baik amat penting bagi memberi keselesaan serta keupayaan berfikir yang tinggi semasa menjawab peperiksaan nanti dan dapat menggunakan semua pesanan serta teknik yang telah diberikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan sebaik mungkin.  Akhir kata beliau mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan semoga semuanya memprolehi pencapaian yang cemerlang. Insyallah.




 



 


MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PERINGKAT SEKOLAH 2012

"Menggemilangkan Akademik"

8 September, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1 KOTA BHARU

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012 peringkat sekolah telah diadakan dengan  meriahnya pada hari ini bermula jam 7.45 pagi hingga 1.00 tgh. Majlis sambutan dimulakan dengan laungan Takbir Hari Raya oleh semua warga sekolah dan diikuti dengan ucapan ringkas oleh Tn. Guru Besar SKKK 1. 


Semua murid menjamu selera dengan pelbagai juadah yang dibawa secara beramai-ramai di dalam kelas masing-masing. Manakala guru dan kakitangan sekolah pula menikmati pelbagai juadah seperti laksa, nasi dagang, bihun sup, buah-buahan dan lain-lain di Dewan Terbuka Anjung MCN SKKK1. Turut serta dalam majlis sambutan ini ialah ahli Jawatankuasa PIBG SKKK 1. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran beberapa orang pelakon yang sedang menjalankan pengambaran drama di SKKK 1.

Sehubungan dengan itu, Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua warga sekolah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan hari raya pada tahun ini. Insyallah panjang umur, berjumpa lagi di tahun hadapan.


Wajah-wajah Ceria Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah 2012




    


  



Sep 4, 2012

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH

"Menggemilangkan Akademik"

4 SEPTEMBER, 2012 - SK. KUBANG KERIAN 1.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 55 TAHUN

'JANJI DITEPATI'

Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah telah diadakan selama 3 hari berturut-turut bermula 30 Ogos, 2012 hingga 4 September, 2012. Pelbagai acara dan aktiviti menarik telah diadakan sepanjang 3 hari tersebut, antaranya aktiviti menyediakan Jalur Gemilang terpanjang (55 meter) melibatkan murid tahun 4 dan 5. Aktiviti mewarna bagi murid tahap 1, melukis poster Hari Kemerdekaan bagi murid tahun 4. Aktiviti mewarna Jalur Gemilang bagi murid tahun 5 dan 6.





Seterusnya acara kemuncak sambutan hari Kemerdekaan ke 55 tahun diadakan pada hari ini bermula jam 7.45 pagi hingga jam 10.00 pagi. Acara pada hari ini dimulakan dengan bacaan doa, ceramah kemerdekaan yang telah disampaikan oleh Ustaz Md Redhuan dan seterusnya ucapan perasmian sambutan oleh Guru Besar SKKK1, Tn. Hj. Mohamed b. Che Noh. Perarakan jalur gemilang 55 meter oleh murid-murid tahun 5 seramai 55 orang diiringi oleh pihak pentadbir dan guru-guru SKKK 1 meletakkan jalur Gemilang  tersebut di sepanjang pagar hadapan sekolah.




Dalam ucapan ringkasnya Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 55 tahun dan berpesan kepada semua warga sekolah agar bersyukur di atas segala nikmat kemerdekaan yang telah dianugerahkan kepada kita selam ini. Seterusnya beliau juga menyeru kepada semua guru agar sentiasa ingat tentang peranan utama guru untuk mengisi makna kemerdekaan. Sesungguhnya guru-guru berada di barisan paling hadapan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti bagi memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi. Para guru diingatkan agar sentiasa brsedia untuk melakukan anjakan paradigma selari dengan perkembangan semasa peringkat global. Anjakan ini penting bagi memastikan agenda pendidikan negara kita untuk membina sebauh negara bangsa yang maju dan bersatu padu agar dapat dicapai sebagaimana dihasratkan.
Seterusnya murid-murid juga diingatkan, bahawa mereka adalah pemimpin negara pada masa hadapan. Sebagai pewaris kepimpinan negara, murid-murid perlu mempersiapkan diri dengan menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran. Hanya melalui penguasaan ilmu dan kemahiran sahajalah murid-murid dapat menyumbang sesuatu yang berharga kepada negara dan sekaligus dapat mengisi makna sebenar kemerdekaan.
Seterusnya, beliau menyeru agar semua warga sekolah dapat sama-sama mengekalkan kemrdekaan ini agar ia sentiasa berada dalam tangan kita buat selama-lamanya. janganlah kita leka dan alpa di atas kesenangan dan kemewahan  yang ada sekarang kera na kelak ia akan membuatkan kita tenggelam di telan semua itu dan akhirnya negara kita tergadai.
Sebelum mengakhiri ucapan, Tn. Guru Besar SKKK 1 mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua warga sekolah yang terlibat secara langsung atau tidak  dalam menjayakan sambutan hari kemerdekaan negara ke 55 tahun peringkat sekolah. Dengan lafaz suci 'BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM' beliau merasmikan Majlis Pelancaran Hari Kemerdekaan ke 55 peringkat sekolah.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

PENAFIAN

SK Kubang Kerian 1 TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB di atas apa-apa kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman ini. Sekian, harap maklum. Terima kasih.
SK KUBANG KERIAN 1.

PERINGATAN UNTUK BAHAN SALINAN

Semua bahan dan maklumat dalam laman blog ini tidak dibenarkan menyalin atau diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh digunakan lagi, atau pun dipindahkan, dalam sebarang bentuk atau dalam sebarang cara tanpa izin terlebih dahulu daripada admin http://skkubangkerian1.blogspot.com kecuali telah dinyatakan untuk dikongsi bersama.Sekian terima kasih.