Satu Program Intervensi Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual telah diadakan pada 14 Jun 2026 bermula jam 10.45 pagi hingga 12.45 tengah hari di Anjung MCN. Program ini disampaikan oleh Cik Aisha Binti Zailan, Pendidik Remaja KafeTEEN, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Cawangan Negeri Kelantan.
Program ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran murid berkaitan isu buli, gangguan seksual serta kesihatan emosi.
Dalam sesi gangguan seksual, penceramah menerangkan tentang sentuhan selamat dan sentuhan tidak tetap serta menekan kepentingan mengelakkan sentuhan yang tidak sesuai daripada individu berlainan atau sama jantina.
Murid turut didedahkan kepada faktor-faktor yang boleh menyebabkan gangguan seksual dan langkah-langkah mengatasinya dengan mendapatkan bantuan daripada individu yang dipercayai seperti ibu bapa, guru atau rakan sebaya.
Selain itu, penceramah turut menyentuh isu “barcode” atau perbuatan mencederakan diri sendiri menggunakan objek tajam seperti pisau kecil dan gunting. Antara faktor yang dikenali pasti ialah tekanan emosi akibat masalah keluarga, tekanan daripada rakan sebaya, pengalaman dibuli serta tekanan di sekolah.
Murid juga diingatkan agar tidak terpengaruh untuk meniru perbuatan tersebut walaupun sekadar ingin mencuba.
Dalam slot berkaitan buli, murid diberikan penerangan mengenai jenis-jenis buli melalui tayangan video dan perkongsian interaktif. Faktor-faktor yang mendorong perlakuan buli turut dijelaskan, di samping langkah-langkah pencegahan dan pengurusan yang perlu diambil oleh mangsa mahupun pembuli. Penceramah menekankan kepentingan mengawal emosi, membuat laporan kepada pihak yang dipercayai dan sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati.
Program turut diserikan dengan aktiviti komunikasi dua hala antara penceramah dan murid. Murid dibahagikan kepada kumpulan untuk berbincang menggunakan kertas mahjung sebelum membuat pembentangan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi kesedaran kepada murid tentang bahaya buli, gangguan seksual dan perbuatan mencederakan diri sendiri serta membantu mereka memahami cara mendapatkan bantuan dan mengurus emosi dengan lebih baik.




No comments:
Post a Comment